Tuesday, November 12, 2013

Lelaki Merah Jambu

Sut kerja berwarna hitam pekat yang elok tersarung di badan diperkemaskan. Pukul 10 pagi nanti dia perlu membentangkan hasil kertas kerjanya sewaktu mesyuarat bersama pengarah projek yang baharu. Jadi dia perlu tampil lebih kemas dan lebih bergaya dari biasa. Bukan apa, sewaktu sesi pembentangan nanti dia mahu tampak yakin dan profesional. Harapnya pembentangannya nanti baik-baik saja.

            Selendang labuh rona merah jambu lembut dililitkan kemas ke kepala. Ditilik penampilannya di hadapan cermin. Sekejap dipusingkan badan ke kanan. Sekejap ke kiri.

Okey! Perfect! Bibirnya mengukir senyuman manis.

Oh. Sempurna itu bukan pada pandangan matanya sahaja. Yang pasti dia mahu tampak sempurna pada pandangan Sang Pencipta. Moga DIA Yang Satu redha dengan setiap langkah perjalanan hidupnya.

            Two inches black heels disarungkan ke kaki bagi melengkapkan penampilan korporatnya. Berpuas hati dengan penampilannya, dia mula menapak keluar menuju ke stesen Titiwangsa yang terletak tidak jauh dari rumahnya.





6.47 pagi. Jam di pergelangan tangan dipandang sekilas. Kelihatan orang ramai mula membanjiri stesen. Ada yang lengkap berpakaian kerja seperti dirinya. Ada juga yang beruniform sekolah. Dari jauh kelihatan monorel kian mendekati stesen. Orang ramai mula menghampiri tebing platform. Bersiap sedia untuk melangkah masuk ke perut monorel sebaik sahaja ia berhenti nanti.

Pintu dibuka. Matanya tertancap pada tempat duduk yang masih banyak kosong. Laju sahaja kakinya melangkah mahu mengambil tempat. Biasalah, awal pagi begini penumpang masih tidak begitu ramai lagi. Itu merupakan salah satu sebab kenapa dia suka keluar pada awal pagi. Lagi satu, dia memilih untuk menaiki pengangkutan awam kerana tidak mahu tersekat dengan kesesakan lalu lintas. Sungguh, dia tidak begitu menggemari suasana yang sesak sebegitu. Membuatkan dirinya jadi tidak sabar saja.

            Dia perasan banyak mata yang memandangnya saat dia melangkah masuk ke dalam perut monorel tadi. Mungkin terpesona dengan keterampilannya yang anggun lagi bergaya pagi ini. Dia mengulum senyum.

            Tas tangan berjenama Coach yang diletakkan di ribanya dibuka. Senaskhah buku kecil, nipis yang sudah agak lusuh dikeluarkan. Bebola matanya mula menatap setiap aksara yang tersusun rapi di atas dada buku sambil mulutnya terkumat-kamit sendiri.
           
            Sesekali matanya terpejam bagaikan menghayati apa yang dibacanya. Dia hanya melemparkan senyuman nipis kepada penumpang di kanan dan kirinya yang sedari tadi asyik mengerling ke arahnya. Dia juga perasan ada yang siap memanjangkan leher mereka lagi. Mungkin saja mereka mahu melihat apa yang sedang dibacanya. Dibeleknya sekilas buku di genggaman. Mahu mencari apa yang menarik dengan buku lusuh ini sehinggakan ramai yang memerhati. Dahinya berkerut hebat. Gagal menemui apa yang dicari, dia sekadar meneruskan pembacaan yang tergendala sekejap tadi.

Al-Ma’thurat. Iya. Itulah yang sedang dibacanya sekarang. Diamalkan membacanya pada setiap pagi dan petang. Naskhah lusuh inilah yang sentiasa menemaninya sejak dari zaman belajar lagi.

Tiba di stesen Medan Tunku kelihatan seorang pemuda melangkah masuk. Tampak begitu macho dan bergaya sekali dengan pakaian kerja yang digosok rapi, tali leher terjerut kemas di leher dan briefcase di sisi. Begitu bergaya sekali tubuh tinggi lampai itu. Kali ini banyak mata terarah kepada jejaka itu pula. Mana tidaknya, pada hematnya pemuda itu begitu berani sekali menggayakan kemeja rona merah jambu terang untuk ke tempat kerja. Tampak sesuai dengan kulitnya yang putih kemerah-merahan itu. Matanya sempat menangkap sesuatu yang sedang dipegang kemas di tangan kanan pemuda itu. Bibirnya tanpa sedar tersenyum. Nampaknya ada sesuatu yang lebih menarik mengenai lelaki ini berbanding penampilannya yang tampan bergaya itu.

Mata penumpang lain dilihatnya masih tidak lepas memerhatikan setiap tingkah pemuda tadi. Siap ada yang bergerak untuk mendekati pemuda itu lagi. Sungguh jejaka ini benar-benar mempunyai aura yang tersendiri. Pemuda itu tersenyum kepadanya yang masih terkumat-kamit menghabiskan doa rabitah sebelum mengambil tempat duduk yang bertentangan dengan dirinya.

Bacaannya sudah selesai. Dimasukkan kembali naskhah lusuh itu ke dalam tas tangan. Kali ini dikeluarkan pula sebuah buku. Perjalanan masih jauh untuk sampai ke destinasi. Lebih baik dia mengisi masanya dengan sesuatu yang bermanfaat. Sementelah semenjak bekerja ini masanya untuk membaca memang amat terhad. Jika dulu dia boleh saja menghabiskan paling kurang sebuah buku seminggu, kini untuk menghabiskan sebuah buku sebulan pun payah. Dia tergeleng sendiri. Terbit sedikit rasa kesal di hati.

Tangannya laju sahaja membelek buku mencari helaian terakhir yang dibaca. ‘Lelaki Warna-Warni.’ Dia tidak dapat menahan dirinya daripada tersenyum saat kornea matanya menatap sebaris ayat itu. Tanpa sedar, matanya mengerling lelaki merah jambu tadi. Lelaki itu dilihatnya sedang membuka buku kecil berbentuk diari yang dipegangnya di tangan kanan sewaktu menapak masuk tadi. Diperhatikan masih banyak mata yang begitu teruja menatap setiap tingkah pemuda itu.

Dia kembali tunduk. Mahu meneruskan pembacaan.

Dia sangat bersih, wajahnya berseri-seri,
Bagus perawakannya, tidak merasa berat karena gemuk,
Tidak bisa dicela karena kepalanya kecil, elok dan tampan,
Di matanya ada warna hitam, bulu matanya panjang,
Lehernya jenjang, matanya jelita, memakai celak mata,
Alisnya tipis, memanjang dan bersambung,
Rambutnya hitam,
Jika diam dia tampak berwibawa
Jika berbicara dia tampak menarik
Dia adalah orang yang paling elok dan menawan jika dilihat dari kejauhan
Tampan dan manis setelah mendekat.

-Ummu Ma’bad Al-Khuza’iyyah, tentang Rasulullah-

Pembacaannya terhenti tiba-tiba saat telinganya menangkap ada suara yang mengalunkan bacaan Al-Quran. Sayup-sayup kedengaran. Dia kenal surah itu. Surah Al-Hujurat. Kepalanya diangkat daripada buku Jalan Cinta Para Pejuang karya Salim A. Fillah di pegangan. Menala tepat ke tempat duduk di hadapannya. Tidak syak lagi. Lelaki merah jambu tadi sedang mengalunkan bacaan Al-Quran. Perlahan. Namun masih sempat ditangkap oleh deria pendengarannya.

Matanya meliar pula ke sekeliling gerabak. Dapat dikesan tingkah yang agak awkward di pandangan matanya. Ada yang sibuk membetulkan tali beg. Ada yang sedikit terlopong sambil mata tidak lepas daripada melihat lelaki merah jambu. Barangkali mereka tidak menyangka yang pemuda yang kacak lagi bergaya itu akan membaca Al-Quran di dalam tren. Dia hanya tersenyum kala melihat keadaan itu. Hadir rasa bangga dalam diri. Bukan senang mahu ketemu anak muda yang menghidupkan hari-harinya dengan al-Quran. Walau ke mana sahaja pasti membawa ayat-ayat cinta itu bersama. Sungguh, hari ini dia belajar sesuatu yang bermakna daripada lelaki merah jambu itu. Tanpa sedar, matanya terhala ke hadapan sambil bibir masih tersungging senyuman.

Kala itu pandangan matanya bertembung dengan sinaran mata lelaki merah jambu itu yang kini sudah memberhentikan bacaannya. Lelaki merah jambu itu menghadiahkan senyuman lebar kepadanya sebelum meneruskan kembali pembacaannya.

Amboi! Sesuka hati dirinya saja mahu memanggil lelaki itu sebegitu. Dia jadi malu sendiri. Terus kepalanya kembali tunduk menatap buku di pegangan.



“Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah banyak dari prasangka, sesungguhnya sebahagian daripada prasangka itu dosa…”
[Al-Hujurat, 49:12]

“… Sungguh, yang paling mulia di antara kamu di sisi ALLAH
ialah orang yang paling bertakwa.”
[Al-Hujurat, 49:13]



No comments: