Monday, November 5, 2012

Hati Seorang Aiman



Aiman masih lagi tercongok menghadap komputer ribanya saat gril pintu rumah dibuka dari luar. Salam yang dilaungkan oleh si pembuka pintu hanya dijawab perlahan, sekadar untuk pendengaran dirinya sahaja. 

“Awal balik?” Sedikit berkerut dahinya. Pelik. Baru pukul enam, si Syakir ni dah sampai rumah.

“Aku dari site. Terus balik la. Dah malas nak pergi ofis.” Terus dibaringkan tubuhnya di atas sofa berangkai tiga. Mata dipejamkan dengan lengan kanannya disanggah atas dahi. Letih benar gayanya.

“Oh.” 

Dia tidak berniat mahu meneruskan perbualan.  Dikemasnya meja yang berselerakan dengan segala jenis kertas dan dokumen itu. Sebenarnya dia baru sahaja pulang dari Melaka. Pagi tadi ada meeting di sana. Tengah hari baru dia bertolak balik. Dalam perjalanan pulang dapat pula panggilan dari pengurus di kilang. Ada masalah di production line. Terus dia berkejar ke kilang. Gedebak-gedebuk di sana sudah pukul lima dua puluh lima. Niatnya untuk masuk ke ofis terus terbantut. Baju pun sudah lencun dengan peluh gara-gara bertungkus-lumus menyelesaikan masalah mesin tadi.

“Man, dah Asar belum?” Syakir sudah bingkas dari baringnya. Dia meraup mukanya. Mungkin tadi terlelap seketika.

“Huh? Belum.” Boleh pula dia mengulang tayang aktivitinya sepanjang hari ini. Haih!

“Belum?” Jam di tangan kiri dikerlingnya sekilas. Dipandang wajah Aiman yang sengih serba salah di hadapannya.

“Ha.”

“Jemaah jom. Aku pun belum Asar lagi ni.” Diangkat tubuh dari sofa. Terus dilarikan langkah kaki ke arah biliknya. Dia mahu mandi dan mengambil wuduk.

Aiman hanya memandang Syakir yang sudah melepasi pintu bilik. Kertas-kertas yang dikemasnya tadi dimasukkan ke dalam briefcase. Laptop diletakkan dalam mode sleep. Berhajat mahu menyambung kembali kerjanya selepas ini. Dia menepuk kepalanya beberapa kali. Boleh pula tak solat Asar terus tadi. Walhal dari kilang lagi dia sudah mengingatkan dirinya untuk solat Asar terlebih dahulu sebelum membuat kerja. Bilik air dituju. Pili air dibuka untuk mengambil wuduk.

Saat dia memasuki ruang bilik yang dikhaskan untuk solat, dua sejadah sudah elok terhampar. Syakir yang sedang mengaji Al-Quran menghentikan bacaannya.

“Solat yuk.” Terus mereka mengambil posisi masing-masing. Syakir di sebelah kiri dan dia di sebelah kanan. Takbir dilaungkan. Dua hati sedang menghadap Ilahi sambil mengharapkan keredhaan dari-NYA.



“Memancing? Bila tu?”

Aiman sekadar mengerling Syakir yang sudah berdiri menjauhinya. Menjawab panggilan telefon yang diterimanya saat mereka sedang menonton berita jam lapan. 

Mesti dengan geng lepak dia la tu. Geng lepak - gelaran Aiman untuk kawan-kawan Syakir. Boleh dikatakan hampir setiap minggu pasti Syakir akan keluar melepak dengan mereka. Ada sahaja aktiviti menarik yang mereka akan lakukan bersama. Kali ini entah apa pula rancangan mereka.

Adakalanya dia juga akan turut ikut serta bersama lepak-lepak dengan mereka itu. Namun bagi Aiman, lepak-lepak mereka itu bukanlah seperti kebiasaan yang dia selalu lakukan. Terasa kelainannya. Lepak yang bermanfaat dia kira. Padanlah Syakir itu berperawakan baik. Itulah yang dapat Aiman simpulkan saat pertama kali menyertai mereka melepak di rumah salah seorang rakan Syakir dahulu.

 Segan dia dibuatnya ketika itu. Mana tidaknya, rakan-rakan lepak Syakir itu melayan dirinya seolah-olah mereka sudah lama mengenalinya. Lepak-lepak mereka juga tidak diisi dengan perbualan yang sia-sia. Penuh dengan peringatan dan hal-hal semasa yang mampu membuka mata sesiapa sahaja yang mendengarnya. Apa yang makin membuatkan Aiman bertambah segan, rakan-rakan Syakir tidak pernah memandang jelek pada dirinya yang biasa-biasa sahaja ini.

Solatnya walau cukup lima waktu, namun terkadang terbabas juga. Solat di awal waktu jauh sekali. Baca Yasin setiap malam Jumaat pun kalau rajin. Namun sejak hampir setahun tinggal menyewa bersama Syakir di Apartment Damai ini, sikapnya mula berubah sedikit demi sedikit. 

Mula-mula dulu dia agak menyampah juga dengan Syakir ini. Apa tidaknya, setiap hari pintu biliknya akan berbunyi pada pukul enam pagi. Bunyi ketukan berselang-seli dengan suara Syakir memanggil namanya. Selagi dia tidak membuka pintu bilik, selagi itulah pintu biliknya diketuk. Apabila dia membuka pintu bilik, figura Syakir yang sudah siap berbaju melayu dan bersongkok itu terpampang jelas di ruang matanya. Siap tunggu dia ambil wuduk lagi! Hu hu.

Merasalah dia solat Subuh berjemaah sejak tinggal serumah dengan Syakir ni. Solat Isyak juga pasti akan berjemaah. Bagus juga tu. Banyak pahala aku. Bisik Aiman sendiri. Sememangnya kini istilah Subuh gajah sudah tiada dalam kamus hidupnya. Bahkan dia sudah tidak perlu dikejut oleh Syakir lagi sekarang. Jam biologinya pasti akan mengejutkannya tepat pada pukul enam pagi. Tanpa sedar bibirnya membuahkan senyum.

“Man.” 

Lamunan Aiman terhenti apabila bahunya dicuit Syakir.

“Ha.” Aiman membetulkan duduknya. Keningnya diangkat sedikit memandang Syakir.

Syakir tayang sengih. “Jom join kita orang memancing weekend ni.”

“Menarik tu. Nak memancing di mana?” 

Bersinar mata Aiman mendengar ajakan temannya itu. Memancing sememangnya menjadi kegemarannya sejak dulu lagi. Pastinya tidak akan ditolak ajakan ini.

“Pulau Angsa.”

On.



Mereka berkumpul pada pukul 9.30 malam di Medan Ikan Bakar Jeram sebelum menuju ke Pangkalan Jeram yang hanya terletak bersebelahan dengan Medan Ikan Bakar. Kesemuanya sudah bersiap sedia dengan kelengkapan memancing masing-masing berserta dengan sedikit bekalan makanan.

Sufian telahpun menyewa sebuah bot di Pangkalan Jeram untuk menuju ke Pulau Angsa. Setelah menempuhi perjalanan selama 30 minit, mereka tiba di lokasi memancing. Masing-masing mengambil tempat dan memulakan aktiviti memancing.

Sudah lebih sejam berlalu namun jorannya masih kaku. Aiman yang sedang duduk menunggu umpannya mengena memandang sekeliling untuk menghilangkan bosan. Ada yang sedang sibuk bertarung untuk menaikkan hasil tangkapan, ada yang masih sabar menunggu umpannya dimakan sambil mulut terkumat-kamit (apa yang dibaca pun Aiman tidak tahu. Jampi mentera mungkin) dan apa yang paling menarik perhatiannya adalah saat melihat sebilangan besar mereka khusyuk membaca sesuatu. Syakir yang duduk tidak jauh darinya juga begitu. Kelihatannya kecil sahaja buku yang mereka pegang itu. 

Lambat-lambat dia bangun mendekati Syakir. Mahu mengetahui apa yang sedang khusyuk dibaca oleh teman serumahnya itu. Semakin dia mendekat, semakin jelas kedengaran alunan perlahan ayat-ayat suci Al-Quran dari celah bibir Syakir. Dibaca dengan sangat perlahan seolah-olah berbisik tetapi penuh tartilnya. Berkerut dahi Aiman melihatnya. Menyedari kehadiran Aiman, Syakir menyudahkan bacaannya dan menutup Al-Quran kecilnya itu lalu diletakkan di sisi.

“Man, dah dapat ikan?”

“Belum. Itu yang bosan tu. Mata pun dah makin layu.” 

Aiman melabuhkan duduknya di sebelah Syakir. Dipandangnya tunak ke arah kitab kecil yang baru sahaja Syakir letakkan tadi.

“Aku pun. Nak hilangkan bosan, aku bacalah Quran. Mengantuk pun hilang.” Syakir tersenyum memandang Aiman di sisinya. 

Sinaran bulan yang terang di dada langit dan pancaran lampu kalimantang bot membantu dia dan yang lain melihat dengan jelas setiap baris ayat-ayat cinta itu.

“Oho. Bukan kau seorang saja yang aku tengok buat macam tu. Hampir kesemua geng lepak kau buat macam tu. Bagus juga buat begitu.” Aiman memuncungkan sedikit bibirnya kepada rakan-rakan Syakir yang lain.

“Tak mahu buang masa, Man. Lagipun, waktu beginilah ada masa untuk baca Quran ni. Top up balik bacaan yang tertinggal waktu hari bekerja tu. Tahu sajalah kan, kerja…” Syakir meleretkan suaranya. Terangguk-angguk Aiman di sebelahnya bersetuju dengan pandangan Syakir itu.

“Betul juga tu. Eh, aku dahagalah. Nak pergi bancuh air. Nak?”

“Boleh juga. Thanks, Man.” Melebar senyuman Syakir.

Aiman bangun dari duduknya sambil mengibas-ngibas seluarnya membuang habuk yang melekat di seluar. Sebelum masuk ke perut bot, dia memeriksa dahulu jorannya. Ingin melihat kalau-kalau umpan sudah mengena. Hampa. Nampaknya belum rezekinya lagi untuk menaikkan hasil tangkapan.

Masuk ke dalam perut bot, matanya menangkap kelibat Sufian sedang solat di suatu sudut bot. Rasanya tadi sebaik sahaja sampai, Sufian memberitahu mahu tidur sekejap. Nampaknya dia sudah bangun dan sekarang ini sedang mendirikan solat. Tidak mahu melengahkan masa, Aiman terus membancuh air. Selesai sahaja dia membancuh Horlicks panas itu, satu suara menegurnya.

“Aiman, dah dapat ikan ke?”

Dia berpaling ke arah suara yang bertanya sambil memegang kole air. “Belum lagi, Pian. Tak ada rezeki lagi nampaknya.” Dia tersenyum hampa.

Takpe, Man. Nanti-nanti ada la tu. Insya-ALLAH.” Sufian menepuk-nepuk bahu Aiman menyalurkan sedikit semangat.

“Harapnya macam tu la. Eh, kau solat apa? Bukan dah solat Isyak ke tadi?” Aiman bertanya pelik. Tidak mahu berteka-teki lagi. Baik tanya terus pada empunya badan.

“Oh. Aku solat sunat. Bukan selalu berpeluang nak buat macam ni, Man…Sibuk je memanjang. Dah ada peluang ni, buatlah…” Sufian bersuara menjelaskan.

“Oho. Tadi pun Akir cakap lebih kurang macam tu juga.” Apa yang dia maksudkan adalah perihal peluang yang dimanfaatkan sepenuhnya oleh rakannya itu untuk membaca Al-Quran pada masa terluang sebegini.

“Begitulah, Man. Manfaatkan peluang yang ada sebaiknya. Hari minggu, memang agak susahlah mahu meluangkan banyak masa untuk buat begini. Waktu hujung minggu beginilah yang boleh dimanfaatkan sepenuhnya. Jumpa kawan pun dapat. Beramal pun dapat.” Sufian mengiyakan kata-kata Aiman.

 Hari-hari lain sudah disibukkan dengan pelbagai urusan dunia. Jadinya diperuntukkan sedikit waktu pada hujung minggu sebegini bagi memenuhi tuntutan urusan akhirat pula. 

Aiman yang mendengar terkesima seketika. Terselit kesedaran dalam dirinya. Betapa mereka ini sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri dan menampal compang-camping amal yang kurang dalam diri masing-masing. Pantang ada masa terluang dan ruang kosong, pasti akan mereka isi dengan sesuatu yang bermanfaat. Terasa lagi kelainan dalam diri. Mengikut mereka memancing kali ini tidak seperti dia menyertai aktiviti memancing yang selalunya hanya dipenuhi dengan borak-borak kosong semata. Sungguh berbeza.

“Lamanya bancuh air, Man.” Gurau Syakir yang baru sahaja memasuki perut bot. Tangannya memegang sebuah baldi. Diunjukkan baldi itu kepada Aiman.

“Aku tolong naikkan tangkapan kau. Sorry, tak panggil kau. Takut terlepas pula ikan tu nanti.” Syakir tayang sengih bersalah.

No worries.” 

Apalah sangat nilai menaikkan seekor ikan itu jika hendak dibandingkan dengan suatu kesedaran yang dia dapat pada malam ini. Sungguh, dia benar-benar bersyukur. Dia ditakdirkan ALLAH serumah dengan Syakir dan melalui temannya itu dia berjumpa pula dengan sahabat-sahabat Syakir yang lain. Dari mereka ini dia tersuntik kesedaran, tersentuh hatinya untuk lebih mendekati Ilahi. Itu lebih berharga daripada segalanya.

             “Kau masuk nak solat malam ke? Nak join sekali.”

             “Ha’ah. Jomlah. Aku tunggu.” Syakir tersenyum senang. Sufian juga tayang senyum melebar. Mereka sama-sama memanjatkan kesyukuran kepada Yang Maha Pencipta. Hanya DIA Yang Maha Berkuasa, yang mampu menyentuh dan melembutkan hati-hati yang DIA kehendaki.



Thanks.” Dia ikhlas mengucapkan enam huruf itu. Tanda menghargai nasihat dan keberadaan Syakir di sisinya selama ini. Kerana Syakir dia berubah menjadi lebih baik. Kerana Syakir, Aiman yang dulunya biasa-biasa sahaja menjadi Aiman yang baharu. Aiman yang sudah tidak lagi memandang solat itu enteng. Aiman yang hidupnya bukan untuk dunia sahaja. Aiman yang menjadi akhirat itu lebih utama.

Sentuhan hati seorang sahabat yang mampu mengubah hati seorang Aiman berubah 180 darjah. Syakir yang tidak pernah memandang jelek dan sentiasa membimbingnya itu telah membuka mata hatinya untuk berubah menjadi lebih baik. Setiap kata-kata dan perbuatan Syakir memang tidak pernah membuatkan dia terasa sakit hati. Malah segala tingkah laku itu umpama air sejuk yang mengalir ke rengkung di hari yang panas. Sejuk. Nyaman. Menyegarkan. Menenangkan.

             Benarlah kata orang, perbuatan yang baik itu mampu menyentuh hati-hati yang keras. Peribadi yang bagus mampu mencairkan hati yang beku. Akhlak yang mulia itu mampu menghidupkan hati yang mati. Kudusnya hati Syakir mampu menyentuh hati seorang Aiman.

             Aiman berjanji pada dirinya yang dia akan berusaha untuk menjadi lebih baik lagi daripada hari ini. Dia mahu menjadi seperti Syakir. Dia mahu mencontohi akhlak dan peribadi junjungan besar Muhammad bin Abdullah. Itu tekadnya. Dia tidak mahu mensia-siakan peluang yang ALLAH berikan kepadanya ini.

            Dia akui, untuk menjadi baik itu memang mudah. Namun, untuk terus kekal menjadi baik itu tidak mudah. Walau bagaimanapun, dia akan terus berusaha memperbaiki dan memantapkan diri. Kerana hati seorang Aiman ini sudah tersentuh hatinya. Hati seorang Aiman ini sudah disentuh oleh keindahan dan kecantikan akhlak seorang teman. Sentuhan keperibadian seorang sahabat yang membawa hati seorang Aiman semakin mengenali Rabbul Izzati. Sesungguhnya hati seorang Aiman ini makin mendekati Sang Penciptanya.

Kemudian, sesungguhnya Tuhanmu (mengampuni) bagi orang-orang yang mengerjakan kesalahan kerana kejahilannyannya, kemudian mereka bertaubat sesudah itu dan memperbaiki (dirinya), sesungguhnya Tuhanmu sesudah itu benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.
[An-Nahl, 16 : 119]

4 comments:

♥ afiqah ♥ said...

beruntung Aiman ada sahabat macam Syakir. :')Moga dapat juga kenalan seperti mereka.

Nadzipah said...

Beruntung kan?

Insya-ALLAH. Moga ALLAH kurniakan kita semua sahabat sebaik Syakir. :')

cik n.haliban said...

bagus nye cerpen2 awak. cemburu saya. huhu...rasa mcm cerita sy sekarang ni makin mengarut pulak. :(

Nadzipah said...

Mana ada gitu cik Haliban. Cerita-cerita awak semua pun ada mesejnya yang tersendiri.
Teruskan menulis dan berkongsi rasa ya cik Haliban. :")