Wednesday, October 31, 2012

Dua Hati Satu Rasa



             “Ralitnya. Tengok apa tu, sayang?” Dhirar Ukail menegur wanita yang sedang tunak memandang ke satu arah itu. Dia meletakkan dagu di bahu isterinya sambil memandang ke arah yang sama. Mahu melihat apakah yang menarik minat pandangan mata bundar wanita kesayangannya itu. Sampaikan dia yang ada di sebelah sejak tadi pun tidak dihiraukan. Merajuklah kalau macam ni!

             “Bahagianya mak dan abah. Harapnya kita pun bahagia seperti mereka. Insya-ALLAH.” Nusaibah Khunaisa masih lagi memandang ke arah ibu dan bapa mentuanya yang sedang duduk berehat menikmati angin pantai di bawah pohon rhu tidak jauh dari tempat mereka berdiri. Bahagia sungguh mereka. Siap makan bersuap lagi. Kalah mereka yang baharu lima bulan berkahwin ini!

             Ditoleh ke kanan. Mata bundarnya bersabung pandang dengan mata bening suaminya. Dapat dilihat mata bening itu bersinar galak seolah-olah mata itu sedang tersenyum kepadanya. Lama mereka begitu sebelum dia mengalihkan pandangannya ke hadapan kembali. Pipinya merona kemerah-merahan. Masih lagi malu dengan suami sendiri walaupun sebulan sahaja lagi perkahwinan mereka akan mencecah usia setengah tahun.

             Memang masih baharu lagi usia perkahwinan mereka. Masih banyak lagi yang belum diketahui mengenai diri masing-masing. Setiap hari ada sahaja perkara baharu yang mereka terokai daripada pasangan masing-masing. Indah sungguh rasanya bercinta apabila sudah halal begini. Kehangatannya terasa setiap ketika.

             “Insya-ALLAH. Mudah-mudahan bahagia milik kita walaupun badai dan ujian melanda rumah tangga kita nanti.” Dhirar menggenggam tangan isterinya erat. Tanda dia bersungguh dan memaknakan apa yang diperkatakannya.

             Mereka sama-sama memandang pasangan berusia emas yang kini sedang berbual mesra sambil makan bersuapan di bawah pokok rhu sana. Tidak mudah untuk mak dan abahnya mengecap kebahagiaan yang mereka sedang lihat saat ini. Dhirar tahu itu. Alhamdulillah, dengan izin ALLAH dua hati kembali bersatu menjadi satu rasa yang indah membahagiakan. Dia bahagia melihat insan-insan kesayangannya bahagia. Bahagia mereka, bahagialah dirinya.

             Nusaibah tunduk mengambil ranting kayu kemudian melakarkan sesuatu di atas pasir pantai yang lembut dan lembap itu. Dhirar ikut mencangkung di sebelah isterinya. Matanya melirik setiap tarian jari-jemari halus Nusaibah. Bibirnya terpalit senyuman yang menawan saat membaca coretan isterinya.

             ‘Dua hati satu rasa.’

             Itulah yang ditulis Nusaibah. Kemudian dilakarnya pula bentuk hati besar mengelilingi kata-kata tersebut.

             Eh! Macam sama pula apa yang dia fikirkan tadi dengan coretan isterinya. Sungguhlah mereka punyai keterikatan hati yang kuat. Ada chemistry, kalau mengikut kata orang sekarang. Tangannya secara reflek memeluk bahu wanita kesayangannya itu. Sebelah lagi tangannya yang lepas bebas mencubit pipi kanan isterinya.

             “Sakitlah…Abang ni…”

Terkial-kial Nusaibah mahu melepaskan tangan kasar Dhirar dari terus melekat di pipinya. Sebaik sahaja berjaya melepaskan diri, terus digosok-gosoknya pipi yang dicubit tadi. Pasti sudah memerah. Terhenti gerak jemari kirinya yang sedang melakar bentuk hati tadi.

Sorry, sayang.” Dhirar tayang sengih bersalah. Tangan kirinya turut sama menggosok pipi isterinya yang sudah mula memerah akibat cubitannya tadi. Alahai…kuat sangat ke dia cubit tadi? Sampai berbekas merah pipi isterinya. Maaf, isteriku. Suamimu ini tidak sengaja. Siapa suruh comel sangat? Hehe. Dahlah apa yang kita rasa dan fikirkan sama. Itu yang teruja sangat tadi tu! Dhirar tersengih nakal.

Ditariknya perlahan ranting kecil dari genggaman si isteri. Dia menyambung kembali lakaran isterinya yang terhenti tadi. Kemudian ditulis sesuatu di bawah bentuk hati itu.

Nusaibah hanya membiarkan suaminya menyempurnakan bentuk hati yang dilukisnya tadi. Bulat matanya saat memandang ayat yang ditulis suaminya di bawah lukisan bentuk hati itu.

“Abang sayang Ai. Fillah.” Dhirar berbisik lembut bait kata yang dicoretnya itu di telinga isterinya.

Berkaca-kaca mata bundar itu saat mendengar lafaz kata suaminya. Bukan senang mahu mendengar suaminya ini melafazkan kata cinta sebegitu. Bagi Dhirar, cukuplah sekali-sekala sahaja dia mengungkapkannya. Basi pula jadinya nanti jika sering kali diucapkan. Dia lebih suka menterjemahkan segala rasa sayang, kasih dan cintanya melalui perbuatan dan bahasa tubuh. Bukankah perbuatan itu berbicara lebih pantas daripada perkataan?

Saranghaeyo. Fillah. Nampyeon.” Nusaibah menyebut satu-persatu kata-kata keramat itu secara berbisik juga. Cukup hanya untuk pendengaran suaminya sahaja.

Amboi! Isterinya ini, tahulah dulu belajar di bumi Sonata. Nasib baik suami sayang ini sudah belajar sedikit bahasa Korea, tahu! Dapatlah faham apa yang diucapkan oleh isterinya yang manis ini. Tanpa dapat ditahan bibir Dhirar mengoyakkan senyuman. Masing-masing tersenyum bahagia.

Dua hati satu rasa,
Berpadu dua jiwa,
Membina mahligai cinta,
Mengharapkan keredhaan-NYA.

(Glosari : Fillah : Kerana ALLAH,
Saranghaeyo (사랑해요) : I love you,
Nampyeon (남편) : Husband )

Nota : Ini coretan saya pada note phone dua malam yang lepas saat tidak dapat melelapkan mata. Ini hanya sekadar cebisan daripada seluruh kisah yang berlegar-legar di ruang minda. Selebihnya masih belum diterjemahkan ke dalam bentuk tulisan. 
Apa komen anda yang membaca tentang coretan ini? Harap dapat dikongsikan bersama. Thanks in advance. :')

3 comments:

♥ afiqah ♥ said...

Baru jejak blog ni. Wah suka baca cerita-cerita dekat sini. Banyak input boleh dapat. Sweet pulak tu. Teruskan berkarya. :D

Nadzipah said...

Terima kasih kerana sudi menjenguk blog picisan saya ini, Afiqah. :')

Insya-ALLAH. Doakan saya ye.

cik n.haliban said...

sambung sampai habis, baru sy komen~ heeee....