Monday, May 28, 2012

Teguran Itu Tanda ALLAH Sayang. Alhamdulillah.

Assalamu'alaikum wbt.

Saya ingin berkongsi pengalaman saya hampir seminggu yang lepas. Semoga menjadi pengajaran buat semua yang membaca. Moga mendapat manfaat dari kisah yang ingin saya kongsikan ini. Insya-ALLAH.

Pada hari Rabu, 24 Mei 2012 yang lepas, saya ada dinner date di Techno Mart, Sindorim Station. Kami berjanji untuk berjumpa pada pukul 7 malam di sana. Namun saya memohon untuk dilewatkan sedikit pertemuan kami memandangkan kelas saya tamat pada pukul 6 petang.

Sebaik sahaja kelas tamat, saya terus bergegas ke hostel untuk mengerjakan solat Asar dan bersiap-siap untuk dinner date. Sudah lama tidak keluar bersama, membuatkan saya amat teruja untuk menghabiskan masa bersama-sama mereka. Namun, perasaan teruja itu sedikit terjejas apabila berlaku beberapa perkara yang telah mengubah mood gembira saya kepada marah dan geram. Hampir setengah jam kemudian barulah perkara itu dapat diselesaikan dan perasaan geram dan marah saya mula mereda. Nampaknya sudah setengah jam saya terlewat. Asyik sangat melayan rasa marah dan geram, sehinggakan saya hampir terlupa yang akhawat sedang menunggu saya di Techno Mart. Astaghfirullah hal 'azim.

Terus saya bergegas turun menuju ke koperasi  hostel untuk top-up T-money. Saya siap top-up 10,000 won lagi tau. Selesai sahaja membuat pembayaran, terus saya ambil T-money dan bergegas keluar. Sebelah tangan memegang T-money manakala sebelah lagi memegang telefon, memeriksa KakaoTalk yang sejak dari tadi berbunyi menandakan ada mesej masuk. Sedang asyik saya membaca mesej sambil berjalan laju menghala ke subway station, tiba-tiba baru saya teringat, yang saya terlupa untuk membawa T-money yang diminta oleh seorang ukhti. Serentak itu, saya juga perasan yang T-money saya yang saya pegang tadi sudah tidak ada di tangan. Eh? Bukan tadi saya pegang T-money ke? Terus saya berhenti dan selongkar isi beg, takut kalau-kalau tadi saya ada simpan T-money dalam beg. Walaupun seingat saya, saya hanya sekadar memegang T-money itu sejak keluar dari koperasi hostel lagi.

Setelah menyelongkar segala isi beg, ternyata T-money tidak saya jumpai. Terus saya berpatah balik, melalui jalan yang saya lalu tadi, sambil mata meliar ke kiri dan kanan jalan, mencari T-money yang mungkin tercicir semasa saya sedang membaca dan membalas mesej KakaoTalk sambil berjalan tadi. Saya berjalan, sehinggalah saya kembali semula ke koperasi hostel. Malangnya saya tidak menjumpai T-money saya itu. ALLAH. Ketika itu, rasa seperti mahu menangis. Sudahlah saya sudah terlewat, terlupa untuk membawa barang yang dipesan dan sekarang ini T-money saya pula hilang! Terus saya berkejar naik ke bilik untuk mengambil barang yang dipesan, mencapai satu lagi T-money yang saya miliki, kemudian turun kembali berlari ke subway station.

Alhamdulillah, ALLAH izinkan, sebaik sahaja saya sampai di subway station, subway tiba tidak lama kemudian. Terus saya menyelinap masuk bersesak-sesak dengan orang yang baru balik kerja. Di dalam subway, saya mengingat kembali kejadian yang berlaku pada saya pada petang itu. Bermula dengan perasaan yang teruja dan gembira mahu keluar makan bersama akhawat, kemudian rasa itu bertukar kepada geram dan marah yang membuak-buak atas beberapa perkara yang menguji kesabaran saya pada petang itu. Seterusnya perihal saya yang keciciran T-money yang baru sahaja di'top-up' 10,000won.  

ALLAHU ALLAH. Terasa panas pipi dan mata. Malu dan sebak menguasai diri. ALLAH balas 'cash' pada saya hari ini. ALLAH bagi teguran direct setempek kena pada muka pada petang ini. Apa salah saya? Itu...tadi...yang saya dok bengang dan marah tak tentu pasal tu. Padahal kalau nak kira benda tu kecil je pun. Yang saya mahu terlebih emosi dan geram serta mahu marah itu kenapa? Seharusnya saya perlu berlapang dada dan menerimanya seadanya. Fikir dahulu sebelum bertindak. Nilai dahulu sebelum mahu meletup. Tengok, kan dah dapat terus teguran dari ALLAH.

Saya top-up 10,000won kot T-money tu. Lepas tu hilang. Seolah-olah saya hilangkan duit 10,000won jugak la kan. ALLAHU ALLAH. Basah kelopak mata, mengenangkan betapa ALLAH itu Maha Penyayang, Maha Pengasih, DIA masih mahu menegur saya atas khilaf yang saya lakukan. Ketika itu jugak DIA balas khilaf saya itu. Tak perlu tunggu esok, tak perlu tunggu lusa, tak perlu tunggu hari pembalasan. Alhamdulillah. Terima kasih Ya ALLAH. ENGKAU masih menyayangi diri ini. ENGKAU masih mahu hamba-MU yang hina dina lagi marhaen ini sedar akan dosanya. T_T

It's worth to lost 10,000won. Duit itu masih boleh dicari. T-money itu masih boleh dibeli. Namun, hidayah dan keampunan-NYA itu hanya DIA yang mampu beri. Ya Rahman, Ya Rahim...Terima kasih, Ya ALLAH. KAU masih mahu menegur hamba-MU yang banyak dosa ini. Saya tidak dapat bayangkan balasan di akhirat nanti bagaimana. Balasan di dunia ini pun sudah perit untuk saya terima.



Benarlah. ALLAH sayang, kasih dan cintakan hamba-hamba-NYA. DIA sentiasa memberikan peringatan dan teguran kepada kita semua. Namun, kita sahaja yang kadang-kadang tidak menghiraukan teguran dan peringatan yang DIA berikan. ALLAHU ALLAH. Astaghfirullah hal 'azim. Ampunilah segala dosa kami, Ya ALLAH. Hanya pada-MU-lah kami meminta keampuanan dan pertolongan. Hanya pada-MU-lah tempat kami mengadu dan meluahkan rasa. Terimalah taubat kami, Ya ALLAH....

Insya-ALLAH. Akan terus berusaha membaiki diri. Akan berusaha dan berusaha menahan rasa marah, bersabar dan berlapang dada dalam setiap perkara. Insya-ALLAH. Doakan saya ye. Sungguh, mujahadah itu pahit dan kelat kerana syurga yang menanti itu manis menggebu. 

Nota 1: Alhamdulillah. Baru pulang dari Mukhayyam2012. Banyak perkara yang dipelajari sepanjang 3 hari 2 malam ini. Insya-ALLAH akan dikongsikan nanti.

Nota 2: Gembira bertemu akhawat. Jazakumullahu khairan jaza' buat semua peserta. Segala penat lelah mempersiapkan program terasa hilang saat melihat wajah-wajah mereka yang ceria dan menguntumkan senyum. 

Nota 3: Semoga ALLAH mempermudahkan urusan kalian duhai akhawati fillah. Selamat kembali bergelumang dengan nota kuliah dan tugasan serta projek di kampus masing-masing. Yuk, berusaha sehabis daya untuk final exam nanti. Buktikan yang kita; muslim juga mampu berjaya. Bukan setakat berjaya di dunia malah di akhirat jua. Insya-ALLAH. 


Nota 4: 다들 수고 많았어요. 여러분, 사랑해요 필라. 러브러브.

Nota 5: Takziah buat Mira yang baru sahaja kehilangan ayah tersayang semalam. Be strong, Mira. ALLAH sentiasa bersamamu. Kami di sini juga sentiasa mendoakanmu.

No comments: