Monday, March 26, 2012

ALLAH Tengok Usaha, Bukan Natijah

Assalamu'alaikum wbt.

"Kejap eh, Yana. Nak masuk Seven-Eleven kejap. Nak beli kitkat."

"Kitkat ni kan produk Nestle, kita kena boikot tau. Nestle menyumbang kepada Israel."

"Ye ke? Alah, nak beli satu je pun. Tak effect pun aih!"

"ALLAH tengok pada usaha kita tau, bukannya keputusan..."

"Erk?..."

*****

"Weh, bangun la. Dah nak masuk Maghrib dah ni."

"Hmm..."
"Ish, liat sungguh la budak nih! Bangun ar..semayang Asar..."

"Lantak dia la Aiman. Kau dah kejut dia beribu kali dah. Dah dia tak nak bangun, dia punya pasal la.."

"Eh, tak boleh la gitu, Mie. Nanti apa aku nak jawab kalau ALLAH tanya apa aku buat time ni sampai housemate aku tertinggal semayang kat padang Mahsyar nanti. At least aku boleh cakap aku dah kejut dia banyak kali dah supaya dia tak terlepas waktu solat."

"Haah kan?"

*****

Itu antara kisah seharian yang boleh diambil sebagai contoh untuk 'ALLAH tengok usaha kita, bukan natijahnya'. ALLAH pun pernah berfirman mengenai hal ini di dalam surah Al-A'raf yang bermaksud:

"Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata,
"Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakann atau diazab ALLAH dengan azab yang sangat keras?" Mereka menjawab, "Agar kami mempunyai alasan (lepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu, dan agar mereka bertakwa."
[Al-A'raf, 7:164]

Sebenarnya ayat ini ada kisah di sebaliknya. Boleh rujuk surah Al-A'raf, 7: 163-166. Kisah hari Sabtu. Yang mengisahkan ALLAH memberi larangan kepada Bani Israil keluar menangkap ikan pada hari Sabtu. Hari Sabtu dikhususkan untuk beribadat. Namun demikian ada antara mereka yang melanggar larangan ALLAH ini. Sebabnya mereka tengok banyak sangat ikan terapung di lautan. Hari-hari lain ikan tidak sebanyak hari Sabtu. Maka terpecahlah mereka kepada 3 kumpulan.

Kumpulan pertama ialah mereka yang melanggar perintah ALLAH; keluar menangkap ikan pada hari Sabtu. Mereka memasang pukat pada pagi hari Sabtu kemudian mereka akan mengambil hasil tangkapan pada hari Ahad.

Kumpulan kedua ialah mereka yang mengikut suruhan ALLAH; tidak keluar menangkap ikan pada hari Sabtu. Mereka juga bertindak menasihati dan memperingati golongan pertama supaya tidak melanggar perintah ALLAH.

Kumpulan ketiga ialah mereka yang tidak berbuat apa-apa. Hanya menjadi pemerhati. Tidak melanggar perintah ALLAH tetapi tidak juga melarang mereka yang melanggar suruhan ALLAH. Merekalah yang bertanyakan kumpulan kedua, "Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab ALLAH dengan azab yang sangat keras?"

Kemudian kumpulan kedua menjawab, "Agar kami mempunyai alasan (lepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu, dan agar mereka bertakwa."

ALLAH menurunkan azab kepada kumpulan pertama dengan menjadikan mereka kera.

Begitulah sedikit sebanyak kisah Hari Sabtu ini. Apa yang saya ingin fokuskan adalah berkenaan soal jawab kumpulan dua dan kumpulan tiga.

"Dan (ingatlah) ketika suatu umat di antara mereka berkata,"Mengapa kamu menasihati kaum yang akan dibinasakan atau diazab ALLAH dengan azab yang sangat keras?" Mereka menjawab, "Agar kami mempunyai alasan (lepas tanggungjawab) kepada Tuhanmu, dan agar mereka bertakwa."
[Al-A'raf, 7:164]

Sesungguhnya ALLAH itu melihat kepada usaha yang kita lakukan. Bukannya natijahnya. Bukannya keputusannya. Jangan mengharapkan hasil yang memberangsangkan dalam setiap usaha yang kita lakukan. Serahkan segalanya hanya pada DIA. Yang penting kita sudah berusaha sehabis daya untuk melaksanakan setiap suruhan dan perintah-NYA.

Masih ingat kisah burung kelicap, si burung kecil yang berusaha untuk memadamkan api yang membakar Nabi Ibrahim? Si burung kecil ini diketawakan oleh binatang lain kerana amat mustahil api itu dapat dipadamkan hanya dengan beberapa titis air dari burung kelicap itu. Walaupun si burung kecil ini berulang beribu kali mencurahkan air dari paruhnya ke atas api yang sedang membakar Nabi Ibrahim sekalipun, api itu tidak akan padam.

Namun apa jawab burung kelicap ini kepada semua binatang yang mentertawakannya? "Pada hari pengadilan nanti, apabila ALAH bertanyakan kepadaku apa yang aku sudah lakukan untuk agama ALLAH, aku akan katakan kepada-NYA bahawa aku pernah mencuba untuk menyelamatkan Nabi Ibrahim."

Subhana-ALLAH! Sungguh hebat sekali semangat si burung kecil ini. Itulah yang dikatakan, ALLAH melihat pada usaha, bukan natijahnya.

Ayuh, kita usahakan sesuatu untuk agama ALLAH. Biar nanti bila kita ditanyakan apa yang kita lakukan untuk agama ALLAH, kita mampu menjawabnya dengan lancar. Tanpa ragu-ragu. Insya-ALLAH.

Nota 1 : Selamat Hari Lahir, adik Zakwan. Semoga terus membesar menjadi penyejuk mata Ummi dan We. Menjadi hero yang soleh dan anak yang beriman. Insya-ALLAH.

Nota 2 : HACKS; Hanya ALLAH Cintu Ku Selamanya. Insya-ALLAH. Moga diri ini terus dikekalkan dengan rasa cinta terhadap-MU, Ya Rabb. Ameen.

1 comment:

Anonymous said...

Syukran jazilan atas perkongsian yg bermanfaat ini.