Saturday, September 18, 2010

Berubah 4


Jari jemarinya masih setia berlari-lari di atas dada papan kekunci komputer ribanya sedari tadi. Matanya sudahpun terasa kabur dek kerana terlalu lama menghadap skrin laptop. Patah-patah perkataan di dada laptop itu pun sudah berbalam-balam pada pandangan matanya. Cermin mata dilurutkan dari pangkal hidung. Tangan diregangkan.Tidak cukup dengan itu dia bangkit sekejap. Menggeliat malas bagi meregangkan seluruh badan. Lega sungguh rasanya.
Kedengaran pintu bilik dikuak dari luar. Terjegul wajah kak Maryam dari balik muka pintu yang dikuak tadi. Senyuman terukir cantik dari wajah lembut itu.
“Baru habis kelas ke kak Maryam?”
“Haah.” Kak Maryam melangkah masuk lalu duduk di birai katil. Melepaskan lelah.
“Tumpang duduk sekejap ya, Khai.” Kak Maryam meminta izin sebelum melabuhkan duduknya di birai katil setelah melihat anggukan daripada Khai. Iyalah. Walaupun mereka sebilik, tetapi hak peribadi seseorang perlu dijaga. Mana boleh main hentam keromo begitu sahaja. Perlulah meminta izin dahulu sebelum menggunakan hak milik orang lain.
Jeda.
“Tengah siapkan assignment ke Khai?”
“Ha. Rehat kejap. Dah penat menghadap kerja ni.”
“Rehatlah kejap. Ambil angin di luar ke sekejap. Lagipun dah petang ni.”
Khai hanya menggangguk mendengar saranan kak Maryam itu. Sememang sepetang ini dia menghabiskan masa menyiapkan tugasan untuk subjek Creative Design itu. Sekejap dirujuk carian Google, kemudian menaip maklumat di dada Microsoft Words. Selepas itu dia melakar pula di kertas A4. Ada projek individu yang dia perlu siapkan sebelum hujung minggu ini.
Sementelah hari ini dia tiada kelas pada waktu petang. Jadi peluang itu diambil sepenuhnya untuk dia menyiapkan kerja projeknya itu. Esok memang jadualnya penuh. Kelas bermula dari pagi hingga ke petang! Sebab itu dia mahu menggunakan masa yang ada pada hari ini sebaiknya. Lagipun dia tidak suka bekerja bertangguh-tangguh ini. Nanti bila sudah menimbun, kalut pula untuk menyiapkan banyak kerja. Kerja pun menjadi kurang berkualiti nanti.
“Hmm…weekend ni Khai busy tak? Kalau tak busy, kak Maryam nak ajak pergi DMU.” Penuh berhati-hati kak Maryam menuturkan kata. Tahu sangat dengan angin-ribut-taufan juniornya yang seorang ni. Cukup sukar untuk dijangka tindakannya.
Orangnya memanglah nampak senyap sahaja. Namun air yang tenang tidak berkocak itulah tempat buaya berdiam. Tapi dia tahu Khai ini lembut hatinya. Kalau kena dengan cara boleh sahaja berceloteh bagaikan sudah kenal lama.
Sepanjan mereka tinggal sebilik ini, dia perhatikan Khai sudahpun mampu berbicara dengan baik dengannya. Tidak lagi bersikap acuh tidak acuh seperti sebelum ini. Alhamdulillah. Perkembangan itu benar-benar membuatkan hatinya senang. Kini dia sudah tidak perlu lagi memikirkan mengenai masalah komunikasinya dengan Khai. Sebelum ini naik risau dirinya dengan sikap endah tidak endah Khai itu. Puas difikirkan apakah puncanya Khai bersikap sedemikian dengannya dan rakan-rakan.
Khai memandang sekilas kak Maryam yang sudah beralih ke kerusi di meja belajarnya. Siap memusingkan kerusinya menghadap Khai lagi. Itu tandanya kak Maryam mahu mengajaknya berbual.
Ni ada apa pula ni. Jangan kata nak ajak aku pergi mana-mana sudahlah. Kerja tengah banyak ni. Hati kecilnya sedikit memprotes pertanyaan kak Maryam itu.
Sekilas planner dipandang. Kosong. Ni nak cakap busy ke? Wan cakap tak baik menipu. Haish… Khai mencongak-congak sendiri. Mahu berkata yang tidak benar, tidak elok pula pada perkiraannya. Sudahnya dia hanya menggeleng-gelengkan kepala.
“Erm…..tak ada apa-apa kot. Pergi DMU?...” Rasanya minggu ni PPMK tak ada buat apa-apa aktiviti pun. Ini ada program apa pula ni? Tanya sajalah. Penat mahu fikir.
“…Ada apa kak Maryam?” Malas betul nak keluar. Sebetulnya dia tidak suka keluar sekadar untuk suka-suka. Lebih baik dia stay sahaja di bilik sambil menyiapkan segala tugasan yang ada. Paling tidak pun boleh dia mengulang kaji pelajaran. Kalau nak ajak pergi shopping di Myeongdong ke… Itu lain ceritalah. Hihi.
“Ada party weekend ni di DMU. Kalau Khai tak busy bolehlah join sekali.” Senyum dari bibir kak Maryam masih tidak lekang sedari tadi. Moga dia tergerak hati untuk join, Ya ALLAH. Desisnya di dalam hati.
Party? Bunyi macam menarik saja program itu. Hihi.
“Okey la…boleh kot join. Nak gerak pukul berapa?”
Syukur. Alhamdulillah. Moga KAU berikan dia hidayah, Ya ALLAH. Tidak putus-putus kak Maryam mengucapkan syukur kepada ALLAH dan memanjatkan doa di dalam hati.
“ Lepas Asar kita gerak ek. Tapi kita overnight di sana tau. Khai okey saja kan?”
Kening Khai sudah terangkat sebelah. Erk? Rasa nak tercekik pun ada. Nasib baik tak makan ke minum tadi. Kalau tidak mahu tersedak dia dibuatnya.
O…..” Nasib baik tadi dah setuju. Kalau tidak…. “…kay.”
Okay then. Kira jadi la ni ek.” Selesai melafazkan kata kak Maryam terus bangun menuju ke muka pintu. Mahu mengambil wudhuk barangkali memandangkan azan baru sahaja berkumandang dari speaker laptop milik Khai.
By the way…” Kening dijungkitkan pada kak Maryam di muka pintu. “… jangan stress-stress. Sometimes we need a rest too.
Dia hanya mengangguk. Setuju dengan kata-kata kak Maryam. Segaris senyum terbit dari bibirnya.
Betul apa yang dikatakan kak Maryam itu. Dia pun tahu akan hakikat itu sebenarnya. Kerehatan itu perlu bagi setiap orang. Namun terkadang, dia bagaikan terlupa tentang hakikat itu. Terlalu menumpukan perhatian terhadap tugasan-tugasan yang diberikan oleh para pensyarah sehinggakan dia mengabaikan waktu rehatnya. Adakalanya waktu makannya juga tidak menentu.
Kak Maryam selalu sahaja menasihatinya supaya menjaga kesihatan. Apa yang paling membuatkan kita terkesan ialah apabila kak Maryam mengatakan bahawa belajar itu memang tugas mereka semua sebagai seorang pelajar. Bahkan kita akan berterusan belajar hatta kita sudah tidak lagi bergelar pelajar sekalipun. Namun kita juga perlu menimba pengalaman lain juga. Waktu belajar inilah seharusnya kita gunakan untuk mempertingkatkan segala kemahiran diri dan kepimpinan serta melibatkan diri dalam aktiviti berpersatuan. Semua perkara ini amat membantu kita di kala kita menceburi bidang kerjaya kelak. Itulah yang selalu kak Maryam perkatakan kepadanya.
Namun dia, tetaplah seorang Nur Aufa Khairina yang tidak mudah untuk menerima nasihat dan pandangan orang lain. Masih dengan sikap degil dan keras kepalanya itu. Mungkin juga kerana dia seorang anak tunggal yang sering dimanjakan oleh mama dan papanya, yang jarang sekali dibantah segala kehendaknya. Jadilah dia Nur Aufa Khairina yang sebegini.
Walau bagaimanapun, hidup berjauhan daripada mama dan papa di bumi Korea Selatan ini banyak mengajar dia erti kehidupan. Tahun ini sudah masuk tahun kedua dia menjadi anak rantau di bumi asing ini. Dia sudah makin membiasakan dirinya dengan suasana dan kehidupan di sini. Dia sedar, dia tidak boleh mengikut kepalanya sendiri sahaja. Dia tahu yang dia perlu juga bergaul dengan rakan-rakan pelajar yang lain.
Sungguh, dia merasakan sangat beruntung mempunyai senior seperti kak Maryam yang sentiasa mengambil berat akan kebajikan dirinya itu. Terasa diri disayangi dan dilindungi. Terlintas juga di fikirannya, mengapalah dulu dia agak anti dengan kak Maryam ini? Walhal kak Maryam itu dari dulu sampai sekarang melayannya sama sahaja. Penuh dengan kelembutan dan kesabaran persis seorang kakak melayan adik kandungnya sendiri.
             “Jom kita solat Asar sama-sama, Khai.”
Kak Maryam yang wajahnya masih basah dengan air wudhuk itu menegur Khai yang masih lagi dengan postur duduknya seperti sewaktu kak Maryam keluar tadi. Khai masih tidak statik. Tidak memberikan sebarang tindak balas langsung. Tergeleng kepala kak Maryam melihatnya.
             “Khai…” Kak Maryam melambai-lambaikan tangannya di hadapan Khai.
             “Eh? Apa dia kak Maryam?” Dia tersengih menutup malu. Boleh pula dia termengelamun begitu.
             “Jom jemaah.” Dilihatnya kak Maryam sudahpun menghamparkan sejadah dan sedang memakai mukenah.
             “Sekejap. Nak ambil wudhuk.” Terus dia bangkit dari duduknya. Dikemaskan seadanya kertas yang bertaburan di atas meja belajar itu sebelum dia menghalakan kaki ke luar bilik untuk mengambil wudhuk. Kak Maryam hanya menjatuhkan sedikit kepalanya tanda faham.
             Beberapa ketika kemudian Khai kembali ke bilik lalu terus mencapai mukenah miliknya untuk disarungkan menutup seluruh badan. Kak Maryam pula menghentikan bacaan Al-Qurannya setelah melihat Khai sudahpun bersedia untuk mendirikan solat.
             “Khai iqamah ya.” Pinta kak Maryam lembut kepada Khai.
             Perlahan Khai melaungkan iqamah. Dua hati hamba sedang menumpukan sepenuh perhatian untuk menghadap ALLAH Yang Maha Esa.
             Hampir sebulan menjadi teman sebilik kak Maryam ini Khai cuba membiasakan dirinya untuk solat berjemaah bersama. Pada mula-mula dulu, ada jugalah Khai menyuruh kak Maryam solat terlebih dahulu memandangkan dia masih ada kerja yang mahu disiapkan terlebih dahulu. Namun lama-lama dia jadi segan pula untuk menolak pelawaan kak Maryam untuk berjemaah bersama. Kini dia jadi seronok pula apabila dapat solat secara berjemaah. Tetapi jarang sekali untuk dia yang memulakan terlebih dahulu. Pasti kak Maryam yang akan memulakan dan mengajaknya. Cuma sekarang ini dia sudah tidak lagi beriya-iya mencipta alasan untuk menolak setiap ajakan kak Maryam itu. Suatu peningkatan yang baik, Khai!

No comments: