Saturday, June 22, 2013

End of Spring Semester! Alhamdulillah!

Assalamu'alaikum wbt.

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Thumma alhamdulillah. Dengan berakhirnya kertas Biotechnology pukul 4.15 petang tadi, secara rasminya berakhirlah semester ini. Alhamdulillah!

Akhirnya saya mampu menarik nafas lega. Semalam saya sudah pun menghantar 20 pages final report untuk subjek Capstone Design. 23 pages sebenarnya. Semester depan hanya perlu fokus kepada penulisan thesis. Subjek Capstone Design ini sebenarnya berkait rapat dengan penulisan thesis saya. Saya sudah pun melakukan sedikit research dan eksperimen berkenaan thesis saya sebenarnya. Cumanya ditangguhkan sehingga semester depan memandangkan saya akan pulang bercuti musim panas di Malaysia selama 2 bulan. Insyaa-ALLAH. 

Tajuk thesis saya, insyaa-ALLAH "N-Doping of Chemical Vapor Depositon - Graphene by Furnace."

Bunyi macam hebat kan? Huhu. Ini kajian pelajar post-graduated sebenarnya. Thesis saya ini pun dipantau oleh pelajar master; Miss Jia Lee. 

Sebenarnya usai sahaja menjawab kertas Digital Communication dan  Data Communication hari Isnin baru ni, saya sudah mampu menarik nafas lega. 2 papers straight. Berturut-turut. Kertas Digital Communication bermula pada pukul 12 tengah hari sehingga 2.50 petang. Kemudian disambung pula dengan kertas Data Communication pada pukul 3 petang sehingga 4.30 petang. Berkejar lepas jawab exam Digital Communication nak solat Zohor. 

Minggu sebelum itu hari Isnin, saya ada exam Electrical and Electronics Programming. Exam yang paling letih saya kira. Serius rasa nak muntah. Paginya kelas macam biasa sampai ke petang. Kemudian malamnya ada exam. Solat Maghrib pun keluar sekejap  daripada bilik kuarantin kononnya nak pergi toilet. Buka puasa dengan air masak sajalah. Tengah duduk jawab exam pun, pakai teguk air mineral saja untuk tambah oksigen dalam badan. Kepala dah mula berbintang-bintang dan berdenyut-denyut. Tambah pula bila keluar banyak error waktu execute programming. Pandangan jadi berpinar-pinar. Saya bertahan saja sehingga selesai menyelesaikan programming. Usai saja exam, balik bilik, usai solat Isyak terus tidur. Sungguh, exam yang paling meletihkan. Letih otak. Letih badan. Nak makan pun tak lalu. Padahal seharian berpuasa. Kenyang macam tu je. 

Sememangnya sepanjang semester ini, subjek programming ini memang paling banyak menguji minda dan kesabaran. Assignment dan report tiap-tiap minggu kena hantar. Belum termasuk dengan programming yang perlu dibuat sewaktu di dalam makmal lagi. Berakhirnya exam programming minggu lepas, nafas semput sebelum ini sudah dapat dihela bebas. 

Saya sangat tabik para teaching assistant merangkap pelajar master yang mengambil pengkhususan dalam bidang programming ini. 

Semester ini memang agak tough bagi saya. Dengan subjek programmingnya. Final project data communication dan digital communication yang perlu dilakukan secara berkumpulan. Dan biasalah. Apabila dah namanya pelajar kejuruteraan. Memang saya sajalah 'bunga' dalam kumpulan itu. Dikelilingi 'kumbang' yang lain. Heh.

Bermula selepas midterm exam, hampir setiap minggu kami berdiskusi dan berjumpa untuk menyelesaikan projek akhir. Terkadang memakan masa seharian. Sehinggakan ahli kumpulan saya sudah hafal waktu sepatutnya saya berhenti solat. Sampaikan pada satu tahap, diaorang pula yang ingatkan saya fasal saya kena berhenti solat. 

Alhamdulillah, Jumaat minggu lepas final project sudah pun dihantar. Presentation juga sudah pun diselesaikan. Kesemua presentation individu juga telah diselesaikan. 

Untuk semester ini, setiap hari Isnin dan Khamis selesai sahaja kelas, saya perlu ke makmal SAINT untuk melakukan eksperimen dan research berkenaan thesis saya. Terkadang, terpaksa juga pergi pada hari-hari lain untuk belajar mengendalikan beberapa mesin dan belajar software Raman spectroscopy

Melihat para pelajar master di makmal tempat saya melakukan eksperimen, saya jadi berfikir berkali-kali untuk menyambung master di sini. Err. Lebih kepada tak mahu sebenarnya. Tough sungguh. Memang rasa tak sempat nak bernafas dengan segala macam tugasan yang perlu dibuat. Tengok mereka duduk mengadap bahan kajian, berdiskusi secara serius dan perlu menghadiri kelas lagi... Huhu. Penuh tekanan.

Teringat perbualan dengan seorang kawan. Waktu itu kami masing-masing stress dengan pelbagai kerja dan projek yang perlu dibuat. 

"Rasa macam nak mati..." Keluh kawan saya berat. 

"Hmm. Itulah. Macam nak terjun bangunan pun ada. Stress!" Tambah saya pula. 

"Haha. Kalau orang Korea ni, dah lama dah mati ni."

"Agak la... Kita ni alhamdulillah ada iman dalam dada. Islam tak ajar kita macam tu kan?" Saya kerling kawan di sebelah. Nampak dia mengangguk sambil tersenyum nipis.

Itulah. Alhamdulillah. Iman di dada masih kekal lekat. Itulah yang membezakan kita yang Muslim ini dengan mereka yang bukan Muslim. Bila stress. Bila tertekan. Bila serabut. Kita boleh mengadu kepada Yang Maha Mendengar. Dengan mengambil wuduk dan bersujud kepada-NYA, hati yang resah gelisah menjadi tenang. Hati yang gundah-gulana menjadi redup. Hati yang bermuram durja menjadi terubat. 

Jangan tak tahu... Korea ini kadar bunuh dirinya agak tinggi. Boleh dikatakan hampir setiap hari ada yang bunuh diri. 

Itu semua kesibukan sebagai seorang pelajar. Belum lagi dicampur dengan tanggungjawab lain. Bermula akhir semester lepas, saya diamanahkan untuk menjadi wakil universiti khususnya untuk bahagian akademik pelajar SKKU. Jadi segala urusan dengan pihak International Affairs, Dormitory, Embassy dan JPA saya memang kena uruskan. Nak hantar result pada setiap penghujung semester. Permohonan asrama, pembayaran yuran winter dan summer class

Apabila mengendalikan semua ini, barulah saya tahu yang tidak mudah untuk kita berurusan dengan manusia ini. Pelbagai kerenah dan gelagat. Alhamdulillah. Saya didedahkan bagaimana caranya untuk berurusan dengan pelbagai peringkat manusia ini. 

Sebulan yang lepas, saya diberikan kesempatan untuk bermesyuarat dengan pegawai besar asrama dan beberapa orang lagi pegawai. Memperihalkan tentang keadaan pelajar Malaysia di asrama dan di universiti, masalah yang dihadapi dan sebagainya. Alhamdulillah, hasil daripada pertemuan itu, pihak asrama telah menyediakan makanan halal kepada pelajar Muslim di SKKU ini. Masya-ALLAH! Saya menitiskan air mata usai bertemu dengan pegawai yang memaklumkan hal ini dan menunjukkan senarai menu yang akan dihidangkan. Sungguh saya terharu dengan keprihatinan mereka. 

Pada awal semester baru-baru ini, saya dihubungi oleh pegawai besar International Affairs, berjumpa dan berbincang mengenai surau untuk pelajar Muslim. ALLAHU AKBAR. Syukur. Alhamdulillah.

Dalam semester ini juga, saya beberapa kali telah dihubungi oleh pegawai polis Suwon dan pernah bertemu empat mata dengan beliau memperihalkan tentang keselamatan pelajar Malaysia terutamanya. Beliau ada menghubungi saya baru-baru ini untuk bertemu lagi. Waktu itu saya berada di makmal menyiapkan eksperimen thesis. Jadi tidak dapat untuk bersua muka. Sehingga kini saya masih belum berkesempatan untuk berjumpa lagi dengannya.

Hari ini, 2 jam sebelum menjawab kertas Biotechnology, saya dikejutkan dengan masalah pendaftaran asrama untuk cuti summer yang akan bermula esok. Ada nama yang tidak tersenarai di dalam senarai nama penghuni asrama. ALLAH! Kalut sekejap saya jadinya. Call JPA tak dapat. Call International Affairs, engaged. Tak tenang mahu study untuk exam

5 minit sebelum masuk dewan peperiksaan, saya berjaya menelefon International Affairs. Terus saya menceritakan masalah yang dihadapi dan meminta pihak universiti memeriksa dan mendapatkan bilik untuk pelajar yang tertinggal namanya. Usai sahaja pihak International Affairs berjanji untuk menyemaknya terus saya meletakkan telefon dan bergegas masuk ke dalam dewan. 

ALLAH! Peperiksaan sudah pun bermula. Teaching assistant sedang mengagihkan kertas soalan. Serasa tidak senang duduk ketika menjawab soalan. Kepala masih memikirkan pelbagai kemungkinan yang bakal berlaku. Usai sahaja menjawab peperiksaan, sebaik keluar dewan, terus saya mengaktifkan telefon. Membaca emel makluman daripada Miss Julia bahawa masih ada lagi kekosongan di asrama. Alhamdulillah. Saya menarik nafas lega. Cumanya sekarang ini saya masih belum mendapat kepastian mengenai nombor bilik dan masih belum mendapat nombor akaun untuk bank-in yuran. Harapnya masalah ini akan dapat diselesaikan secepat mungkin. 

Sungguh, hari ini walaupun sudah habis final exam petang tadi, saya masih tidak mampu tersenyum lebar. Dahi berkerut memikirkan masalah yang dihadapi. Terasa... sungguh berat tanggungjawab yang dipikul. Padahal baru saja menjadi biro kecil akademik. Tidak dapat saya bayangkan andai sudah bekerja nanti. Huhu.

Apa pun, saya berharap saya sentiasa disibukkan dengan pelbagai kerja. Walaupun tidak menang tangan. Walaupun tidak cukup nafas. Walaupun terasa bagaikan tidak jejak tanah. Namun, saya rasa masa saya terisi dengan perkara yang berguna dan berfaedah. Tidaklah masa yang berlalu terbuang begitu sahaja. Mutabaah amal juga saya kira makin membaik. Kerana apabila kita sibuk, kita dengan sendirinya akan berusaha gigih menyusun setiap kerja dan amal agar semuanya dapat dilakukan sebaiknya. Berlainan pula apabila kita lapang dan tidak sibuk. Bukan begitu? Selalu sahaja kita menangguhkan kerja dan amal kerana kita merasakan kita masih punya banyak masa. Sehinggakan sedar-sedar sahaja seharian sudah berlalu dan kita tidak melakukan hatta satu kerja sekalipun. Amal tidak sempurna. Kerja terbengkalai begitu sahaja. 

Alhamdulillah. Saya kira semester musim bunga ini berakhir dengan jayanya. Banyak yang saya timba dan saya dapat pada semester kali ini. Ilmu di keagamaan, ilmu duniawi, ilmu kemanusiaan, ilmu  kemasyarakatan dan sebagainya. 

Semester ini banyak mengajar saya untuk bersabar. Saya juga belajar untuk memahami sikap dan sifat manusia yang pelbagai kerenahnya. 

Terima kasih kepada semua yang memberikan kerjasama dan memberikan erti kepada hidup saya. Tanpa anda semua, saya mungkin tidak mendapat ilmu yang bermakna sebegini. Jazakumullahu khairan jaza'. Semoga ALLAH membalas jasa kalian semua dengan kebaikan. Ameen. Insyaa-ALLAH.

Nota: Selamat bercuti musim panas buat warga Korea. Yang nak balik esok tu (hari la kan...dah pukul 12 lebih dah pun...) selamat berpraktikal...

Mungkin minggu depan, saya boleh buat kisah perjalanan kami (saya dan sepupu) berjalan-jalan pusing Korea. Insyaa-ALLAH. 

Tuesday, June 18, 2013

The Drama King - A Metaphor (Sesi Tadabbur Saya)

Assalamu'alaikum wbt. 

Alhamdulillah. Selesai paper yang ketiga awal pagi tadi. Balik bilik, room-mate suruh tengok filem pendek karya terbaharu Madmie; The Drama King - A Metaphor

Subhana-ALLAH! Awesomeness! 

Memang tidak dapat dinafikan, setiap hasil sentuhan tangan Ahmad Zulhilmi Sobri tidak pernah mengecewakan. Variasi ibrah memang terselit pada setiap filem pendeknya.

Saya mahu berkongsi sedikit daripada tadabbur yang saya buat setelah menonton filem pendek ini. Kita buat ala-ala bedah filem la eh. :P

*****
Sebelum tu, saya nak bagi sinopsis filem pendek ni dulu. 

Watak utama 'The Drama King - A Metaphor' ini adalah Muhaimin. Babak pertama filem pendek ini memaparkan kisah Muhaimin yang telah kehilangan duitnya. Kawan-kawan sekeliling yang mendapat tahu mengenai kisah kehilangan duit Muhaimin ini berkumpullah berusaha untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi oleh Muhaimin. Akhirnya seorang kawan Muhaimin ini jumpa balik duit Muhaimin tu. 

Babak seterusnya, memaparkan betapa gembira dan terujanya kawan Muhaimin mengkhabarkan berita gembira kepada Muhaimin. Katanya dia dapat menerbangkan helikopter, terbang tinggi lagi. Punyalah dia bersungguh-sungguh suruh Muhaimin datang. Muhaimin pula macam tak berapa nak percaya dengan pernyataan kawannya tadi. 

Tunggu punya tunggu, memang Muhaimin tidak datang. Kawan Muhaimin ini pergi lagi memanggil Muhaimin. Tidak berputus asa sungguh kawan Muhaimin ini mahu memperlihatkan kejayaannya menerbangkan helikopter. 

Teman di bilik sebelah yang mendengar perbualan antara Muhaimin dan kawannya ini telah masuk ke bilik Muhaimin dan bertanyakan apa yang berlaku. Namun sayangnya, dia telah dimarahi oleh Muhaimin dengan kata-kata yang agak kasar kerana katanya temannya itu telah menceroboh masuk biliknya tanpa izin. 

Al-kisahnya, Muhaimin amat bertuah kerana telah dihadiahkan sebuah helikopter yang digelar Helikoptina oleh pak ciknya. Pak cik Muhaimin ni tak bagi helikopter yang dah dipasang siap tau. Pak ciknya suruh Muhaimin pasang sendiri Helikoptina ni. Maka bersengkang matalah Muhaimin memasang Helikoptina dan berusaha untuk menerbangkannya. Akhirnya, segala penat lelah Muhaimin berhasil. Dia dapat menerbangkan Helikoptina dengan jayanya! Yeay!

Sungguh malang itu tidak berbau, Helikoptina menghadapi sedikit masalah. Lalu jatuh terhempas dan tidak dapat diterbangkan lagi. Muhaimin bawa balik, cuba betulkan dan baiki apa yang patut. Namun Helikoptina tidak dapat juga diterbangkan. Muhaimin yang telah berputus asa ini memutuskan untuk membuang sahaja Helikoptina yang sudah tidak dapat terbang lagi itu. 

Kawan Muhaimin yang menjumpai Helikoptina di dalam tong sampah telah mengambil Helikoptina dan berusaha untuk membaiki semula Helikoptina. Alhamdulillah, segala usahanya berhasil apabila Helikoptina dapat diterbangkan. Dikhabarkan kepada Muhaimin dan kawan-kawan yang lain akan kejayaannya itu. Malangnya Muhaimin tidak percaya. Tinggallah dia keseorangan di bilik manakala yang lain berseronok bermain dengan Helikoptina. 

*****
'The Drama King - A Metaphor' ini kisah yang penuh simbolik. 

Mengikut tuan si pembuat filem pendek ini, dia memetaforakan filemnya seperti ini:

Watak Muhaimin diibaratkan seperti Bani Israel.

Pak cik Muhaimin itu dimetaforakan sebagai ALLAH yang memberikan nikmat Islam dan hidayah kepada Bani Israel. 

Helikoptina pula adalah Islam.

Kawan Muhaimin digambarkan sebagai khalifah. Golongan penegak agama Islam. Golongan yang menjunjung Islam, mengamalkannya di dalam kehidupan. 

Kejayaan menerbangkan Helikoptina disimbolikkan sebagai Islam dapat ditegakkan di muka bumi. Menjadi ustaziatul alam. 

*****

Pada saya, 'The Drama King - A metaphor' merupakan sebuah filem pendek yang penuh metafora dan simboliknya. Kisah yang perlu kita akui kebenarannya. Bahkan kisah pengkhianatan dan kemurkaan ALLAH kepada Bani Israel banyak tercatat di dalam kitab suci Al-Quran. Lihatlah dalam surah al-Baqarah, kisah pertikaian Bani Israel dalam melaksanakan perintah ALLAH apabila disuruh menyembelih seekor lembu. 

Di dalam surah yang sama juga, ALLAH menceritakan bagaimana keadaan Bani Israel yang telah diselamatkan oleh Nabi Musa daripada Firaun kemudiannya kembali kufur. Oh. Sebelum itu, mereka ini terlebih mengada-ngada. Meminta macam-macam dengan Nabi Musa. Nak makan itulah. Inilah. Padahal ALLAH sudah pun memberikan mereka 'mann' dan 'salwa'. Sungguh mereka ini tidak bersyukur. 

[Boleh rujuk surah Al-Baqarah ayat 49-74]

Banyak lagi dikisahkan di dalam al-Quran. Surah Hud misalnya yang mengisahkan bagaimana ALLAH menyeksa setiap kaum daripada Nabi yang berbeza. 
1. Kaum Nabi Nuh - ALLAH timpakan dengan banjir besar. 
2. Kaum 'Ad (Nabi Hud) - Diazab dan dibinasakan. 
3. Kaum Samud (Nabi Saleh) dan kaum Nabi Syu'aib - Ditimpa suara guntur hingga menyebabkan mereka mati bergelimpangan. 
4. Kaum Nabi Lut - Dihujani batu dari tanah yang dibakar. 

Kerana apa? Kerana mereka kufur. Tidak mahu beriman kepada ALLAH. Mereka tidak mahu mengakui perintah ALLAH dan suruhan para utusan ALLAH. 

Disebabkan Bani Israel yang ALLAH telah memberikan peluang berkali-kali kepada mereka namun mereka telah mempersiakannya ini, ALLAH telah memberikan nikmat iman dan Islam itu kepada kaum Arab. Boleh rujuk surah Muhammad ayat yang ke-38 berkenaan hal ini. 

"...Dan jika kamu berpaling (dari jalan yang benar), 
DIA akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain, 
dan mereka tidak akan (derhaka) seperti kamu."
 [Muhammad, 47:38]

Kini, Helikoptina (Islam) telah bertukar tangan. Daripada tangan Muhaimin (Bani Israel) kepada tangan kawan Muhaimin (khalifah). Dan Helikoptina telah membahagiakan insan-insan yang menghargai dirinya. 

Kata orang, kita akan mempersiakan sesuatu yang kita terima dengan mudah. Kita ini, lahir-lahir sudah Islam. Ajaran Islam sudah sebati dalam diri kita sejak kecil. Sehinggakan sekarang ini, kita sudah tidak tahu lagi untuk membezakan antara Islam dan adat. Kerana apa? Kerana kita tidak begitu mengambil kisah tentang cara hidup Islam yang sebenar. 

Sungguh. Menonton filem ini membuatkan saya jadi takut sendiri. Berada di negara yang bukan Islam ini menjadikan saya lebih mengenali Islam dalam erti kata yang sebenar. Saya
menjadi izzah (bangga) dengan Islam. Saya rasa bebas dan tidak segan silu mempamerkan yang saya seorang Muslim di sini. Saya mahu semua orang tahu bahawa saya seorang Muslim. 

Namun berbeza pula situasinya dengan Malaysia. Apabila disebut sahaja orang Melayu. Pastilah yang terlintas beragama Islam. Dalam pada kita sedar atau tidak, kita telah membawa nama Islam itu walau ke mana sahaja kita berada. Namun, tanpa kita sedari, kita sendiri yang mencemarkan nama baik Islam itu. Hakikatnya ajaran Islam itu mulia dan indah, cuma kita penganutnya ini sahaja yang kurang mulia dan indah.

Semoga kita semua mampu menunjukkan contoh individu Muslim dalam erti kata yang sebenar kepada masyarakat. Semoga kita berpegang teguh kepada agama ini. Andai kata kita futur, ayuhlah berusaha untuk bangkit kembali. Jangan pernah berputus asa dalam mengejar rahmat dan redha ALLAH. 

"Ya muqallibal qulub, tsabbit qulubana 'ala deenik." 

Moga-moga kita tidak digantikan oleh ALLAH dengan kaum yang lain lagi. Moga kitalah kaum yang telah digantikan itu. Kaum yang bisa menegakkan syiar Islam di mata dunia. Ameen. Insyaa-ALLAH.

*****
Apabila berakhirnya semester musim bunga ini, bermakna saya cuma ada satu semester sahaja lagi di sini. Kemudian, akan pulang berkhidmat di tanah air. Risau. Sungguh saya risau. Risau andai kata saya kalah di medan tempur nanti. Risau andai kata tidak cukup persediaan di medan latihan selama hampir 5 tahun ini. 

Semoga ALLAH mengekalkan saya dan kita semua di jalan-NYA. Moga kita semua bisa berdiri teguh dan utuh di atas jalan dakwah dan tarbiyah ini walau badai melanda. Ameen. Insyaa-ALLAH.

Iman itu...memang yaazid wa yankuz. Menaik dan menurun. Ada jatuh bangunnya. Untuk itu, moga kita semua tidak terus-menerus berada dalam keadaan futur. Ayuh! Bangkitlah kembali andai futur. Carilah kekuatan ruhi dengan penerapan nilai-nilai tarbawi dalam diri. 

Mahu menjadi golongan yang ditapis atau tertapis. Kitalah yang memilih.

Oh ya. Ini tadabbur tukang buat filem; Inche Madmie.





Friday, June 14, 2013

Budak Usrah Duduk Dalam Dunia Sendiri?

Assalamu'alaikum wbt.

Petang semalam, sewaktu sedang menyediakan makanan untuk berbuka puasa saya sempat berborak kosong dengan seorang kawan. Banyak perkara yang kami bualkan. Maklumlah, walaupun satu universiti, walaupun bilik sebelah-menyebelah sahaja, namun tidak selalu kami dapat melepak santai bersama. Tambahan pula bila saya dan dia berlainan course dan kelas pula tidak sama. Waktu berjumpa beginilah kami gunakan untuk meng'update' diri. Bertukar-tukar cerita. 

"Bagus kan sekarang ni... I nampak dah ramai anak muda yang baya-baya kita ni dapat approach masyarakat. Hmm. Macam Afiq Sazlan tu...budak tomato tu..." Kata saya sambil tangan mengupas kulit lobak merah. 

"Oh. Afiq Sazlan yang Hamasah As-Syabab tu?..." Kawan saya bertanya sambil tangan masih ligat memotong dadu kentang untuk dibuat inti karipap.

"Haah. Dia muda lagi kot. Tapi matang. I yang kakak ni pun segan kot dengan dia."

"Budak tomato tu siapa eh? Yang you dok post entry blog dia kat FB tu kan?" 

"I pun tak kenal. Yang I tahu dia budak medik. Aberdeen."

"I tak rasa sangat bila baca blog dia. Mungkin sebab dia banyak cerita kot. I lagi suka blog APG." 

"Tapi at least blog dia mampu sampai pada masyarakat..." Dalam hati dok cakap, I suka je baca blog budak tomato tu... Sebab dia banyak cerita. Haha. Lain orang, lain citarasanya. 

"...Ramai kot I tengok yang komen kat blog dia tu... macam bukan yang ikut usrah. Sebab ada tanya pasal certain-certain istilah Arab yang dia guna. Yang kadang-kadang kita rasa, 'hek eleh... yang ni pun tak tahu ke?' tapi kita tak boleh la nak kata macam tu kan... Dah memang dia tak tahu. Bagus la dia tanya."

"Haah. Macam I adik-beradik sejak kecil lagi dah didedahkan dengan perkataan qiyadah la apa la... So I macam tak faham sikit la macam mana rasa tak faham tu..." 

"I faham je rasa tu. Sebab I pun, bila dah masuk usrah ni barulah faham apa makna qiyadah segala bagai tu."

"Itu la...  Kawan I ada cakap, 'Sepatutnya awak bersyukur sebab dilahirkan dalam keluarga yang baik-baik dan dah kenal usrah sejak kecil lagi.' Tapi sekarang ni I cuba la nak faham macam mana rasa orang yang baru nak kenal usrah ni..."

"Betul la apa kawan you cakap tu. You patutnya bersyukur. I faham la bila adik-adik cakap risau nak balik Malaysia nanti. Takut tak dapat istiqamah dan takut futur segala tu. Sebab I pun datang daripada famili yang bukannya join usrah ke apa ke...So I tahu la rasa tu macam mana..."

"Itulah. Bila kawan I cakap, kita tak rasa cepat nak futur ke apa ke sebab tengok la kawan-kawan keliling kita semua baik-baik. Tapi berbeza dengan orang luar sana. I tengok la timeline FB I, semua pun post kata-kata peringatan. Boleh kata tak ada langsung la benda-benda lagha ni. Then I tengok pulak timeline orang lain. Penuh kot post pasal K-Pop la apa la. Banyak yang lagha la pendek kata... Hmm. Baru I terfikir, diaorang ni perlu mujahadah yang tinggi untuk terus baik dan kekal baik."

"Kan? Sebab tu la I kata tadi bagus la ada anak-anak muda yang boleh masuk dalam masyarakat dan masyarakat boleh terima pembawakan diaorang ni. Barulah kita boleh ubah masyarakat tu. Bila kita dah faham situasinya macam mana."

"Tapi... makin ramai orang yang buat baik. Makin ramai juga yang sebaliknya. Hmm."

"Tak apalah. Itu maknanya kita kena kuatkan lagi usaha kita. Mungkin kita tak masuk sepenuhnya lagi dalam masyarakat."

*****

Itu antara yang saya dan kawan saya bualkanlah semalam. Terlintas untuk berkongsi di sini kerana saya rasa ada mesejnya.

Pagi tadi, saya terbaca status Aiman Azlan. 

"Aku harap orang-orang usrah tidak hidup dalam dunia mereka sendiri. Dunia ini ada satu sahaja, bukan dua. Jadi, kita kena belajar untuk hidup di atas bumi yang sama, di bawah langit yang sama. 

Aku suka usrah. Jadi jangan ambil kata-kata aku sebagai satu serangan terhadap usrah ye :)"


Macam lebih kurang sama pula apa yang saya bualkan dengan kawan saya semalam. 

Pada saya, kita ni kadang-kadang kena letakkan diri kita dalam kasut orang lain. Dan orang lain juga perlu letak diri mereka tu dalam kasut kita. Barulah masing-masing boleh faham keadaan masing-masing. Bertolak ansur dan bertoleransi dalam perhubungan itu perlu bukan?

Mungkinlah ramai yang kata...'Budak usrah ni suka duduk dalam dunia mereka sendiri.' Pergi mana-mana pun dengan ahli usrah dia je. Buat apa-apa pun dengan ahli usrah dia jugak. 

Iyalah. Nak buat macam mana kan... Usrah setiap minggu. Jadi seminggu sekali mesti wajib jumpa. Itu belum termasuk daurah, rehlah dan jaulah lagi. Itu belum lagi termasuk keluar lepak-lepak, riadah bersama dan sebagainya. Jadi memang akan nampak budak usrah ni duduk dalam dunia mereka sajalah. 

Tapi... itu tidak bermakna mereka ini tidak bergaul dengan orang sekeliling. Kawan yang lain pun rasanya tidak diabaikan. Cumanya kalau dulu ber'hu-ha-hu-ha' sesama lelaki perempuan... Sekarang dah tak bolehlah buat perangai tak semenggah itu lagi. Masih boleh berkomunikasi. Masih boleh berborak. Cumanya adalah batas-batas yang perlu dijaga. Dan berbual pun apabila perlu sajalah. 

Cumanya saya mengecam sesiapa yang mengaku dia budak usrah, tetapi main double standard antara yang join usrah dengan yang tak join usrah ni. Jangan begitu kawan. Qudwah qabla dakwah. Akhlak dan keperibadian itu penting dalam menyampaikan kebaikan. 

Apapun, kita cubalah elakkan untuk bersangka-sangka ni ya. Nak-nak kalau berburuk sangka. Kita cubalah bersihkan hati kita daripada noda-noda hitam menyinggah masuk.

Ini sekadar sudut pandangan saya sahaja. Mungkin ada yang tidak betulnya. Mungkin ada silapnya. Harap dapat perbetulkan andai ada silap di mana-mana. 

Wallahu'alam.

Nota : 14 Jun - Hari Untuk Syria. 
Dr. Yusuf Qaradhawi telah mengisytiharkan hari ini adalah Hari Untuk Syria. Dalam pada kita disibukkan dengan pelbagai urusan diri, jangan kita lupakan apa yang berlaku di luar sana. Jom! Mari sama-sama peduli ummat. 




Friday, June 7, 2013

DIA Lebih Tahu

Semilir angin petang menghembus lembut mengibar-ngibarkan selendang yang dipakainya. Wajahnya mendongak ke atas. Memandang langit senja yang sudah pudar birunya. Berganti warna keperang-perangan dek penangan sang bebola gergasi yang sudah mahu melabuhkan tirainya. Menandakan sebentar sahaja lagi akan masuknya waktu Maghrib.

          “Subhana-ALLAH! Cantik sungguh ciptaan-MU, Ya ALLAH.”

          Terpacul kalimah suci itu dari ulas bibirnya. Mengagumi keindahan ciptaan Ilahi. Terasa tenang. Lelah yang menekan jiwanya sedari tadi sedikit demi sedikit menjauh dari dalam diri.

“(iaitu) orang-orang yang beriman dan hati mereka menjadi tenteram
 dengan mengingati ALLAH. Ingatlah, hanya dengan mengingati ALLAH
 hati menjadi tenteram.”
[Ar-Ra’d, 13:28]

          Dia teringat akan sebaris ayat itu. Sungguhlah bagai dikata. Itu bukan kata-kata manusia. Itu kalam sang Pencipta. Hanya dengan mengingati ALLAH hati menjadi tenang…

          Tidak sia-sia dia ke mari. Menghadap tasik yang tidak beriak. Melihat kanak-kanak kecil berlari-lari riang. Memerhati lalang meliuk-lintuk ditiup angin. Mendengar unggas petang berkicau riuh. Mungkin mahu pulang ke sarang setelah seharian mencari rezeki.

          Tanpa sedar air matanya mengalir.

          “Aku tak kuat, ya ALLAH. Hadirkanlah kekuatan dalam diriku, Ya Rahman untuk melawan segala rasa yang tidak patut ini.” Dia merintih hiba.

          Tangan diangkat menggenggam dada kiri. Sakitnya benar-benar terasa. Sukar sungguh untuk dia melepaskan segala rasa ini. Sungguh. Dia ingatkan dia sudah mampu melupakan. Namun dia silap. Rasa itu masih ada. Tersimpan jauh di sudut hatinya yang paling dalam.

          Mana mungkin rasa sayang yang sudah terpahat kukuh di hatinya ini dibuang begitu sahaja. Dia tahu rasa ini suci. Dia tahu rasa ini suatu fitrah. Dia juga tahu, dia sudah salah menyalurkan rasa ini kepada yang tidak berhak. Namun… dia bagaikan ingin menafikan segala apa yang dia tahu salah itu. Mahu menegakkan benang yang sudah basah lencun.

          “Bukannya kita tidak boleh bercinta. Boleh. Tapi lebih manis kiranya dengan ikatan perkahwinan.”
          Ayat itu benar-benar membuatkannya tersentap. Terkedu. Terpaku. Artikel yang dia baca lewat laman sesawang itulah yang membawanya ke tasik ini. Mahu menenangkan diri. Mahu mencari diri. Mahu menyelami hati nurani.

          “ALLAH… Ujian ini amat berat untuk aku hadapi. Aku tak kuat, ya ALLAH.”

          Bibirnya diketap kuat. Menahan rasa sebak. Nafas ditarik dalam. Mahu menghalang tangisannya daripada terhambur keluar.

          Tidak putus-putus dia beristighfar. Mahu menghalang segala hasutan syaitan. Kepala digeleng-gelengkan.

          “Tidak! Aku tidak boleh lemah begini. Aku kena kuat!”

          Dia bangkit dari duduknya. Penumbuk digenggam.

          “Kuat Hannah!”

          Air mata yang menitik setitis ke pipi disekanya. Senyum diukir di bibir. Langit petang berwarna keemasan dipanjang sekilas. Mencari kekuatan dari Rabbul Izzati.

          “ALLAH… ALLAH… ALLAH… Subhana-ALLAH. Alhamdulillah. ALLAHU Akbar.”

          Setiap langkahnya diiringi alunan zikir. Dia tidak mahu kalah lagi dengan perasaan sendiri.






          “Hannah.”

          Kepalanya mendongak memandang gerangan yang memanggil namanya. Tangan yang tadinya laju menyalin setiap kata-kata yang terbit dari bibir murabbinya terhenti di tengah-tengah muka surat.

          “Ya?”

          Dahinya berkerut kala melihat lima pasang mata kini tertumpu pada dirinya. Keningnya diangkat memberi isyarat bertanya dalam diam.

          “Hannah ada nak cakap apa-apa tentang ayat yang kita tadabur ni?” Kak Rumaysa tersenyum manis memandangnya.

          “Tak ada, kak.” Dia menggeleng lemah. Senyuman dihulurkan biarpun terasa hambar. Bukan dia tidak mahu bertanya ataupun meluahkan apa yang dia rasa. Cumanya dia sedang mempertimbangkan adakah patut untuk dia meluahkan segala rasa yang terbuku ini? Dia malu sebenarnya dengan mereka semua. Sungguh. Dia benar-benar malu.

          “Baiklah. Yang lain?” Kak Rumaysa memandang setiap wajah yang hadir. Dapat dirasakan bahawa Hannah mempunyai masalah. Namun bukan sikapnya untuk memaksa.

          “Kak Rumaysa, dalam surah Al-Ankabut ayat 2 ini kan ALLAH cakap yang DIA akan uji kita. Maknanya setiap ujian yang ALLAH bagi pada kita tu… kita mampu hadapilah? Macam tu ke akak?” Berlapis-lapis dahi Farah saat melontarkan pertanyaan. Nampak benar dia agak keliru dan kurang memahami ayat yang telah mereka tadabur bersama sebentar tadi. Padahal kak Rumaysa sudah panjang lebar menjelaskan makna ayat itu tadi.

          Kak Rumaysa membacakan kembali ayat suci al-Quran itu berserta maksudnya.

Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji? Dan sungguh, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka ALLAH pasti mengetahui orang-orang yang benar dan pasti mengetahui orang-orang yang berdusta.”
[Al-Ankabut, 29:2-3]

          “Iya. ALLAH pasti akan menguji setiap manusia yang telah mengaku dia beriman.”

          Jeda.

          “Insyaa-ALLAH. Kita mampu menghadapi setiap ujian yang ALLAH berikan. Kerana apa? Kerana ALLAH tidak mungkin akan membebani kita dengan sesuatu yang tidak mampu kita hadapinya. Boleh rujuk surah Al-Baqarah ayat 286.”

“ALLAH tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya…”
[Al-Baqarah, 2:286]

          “Ujian itu tanda ALLAH sayang pada kita; hamba-NYA. Sebab itu DIA berikan ujian pada kita. ALLAH beri ujian dan dugaan bukan saja-saja. DIA nak naikkan tingkat keimanan kita. Sebab itu… saat diri kita menerima ujian, kita seharusnya bersyukur. Menerima ujian itu dengan senyuman. Dan… kita perlu bersabar saat diri diuji.”

          Jeda.

          “Dan solat itu laksana sinar rembulan, sedekah itu bukti keimanan, sedangkan sabar itu laksana sinar matahari.” Suasana senyap tadi dipecahkan oleh suara lembut Humaira.

          “Wuuhuu. Indahnya bahasa….” Zinnirah bersuara nakal mengusik Humaira yang sudah merah pipinya. Pantang diusik, mulalah menyerbu darah naik ke muka! Sesuai sungguh dengan namanya.

          “Eh… itu hadis riwayat Muslim tau! Rasullullah yang bersabda tu…” Humaira mempertahankan dirinya.

          “Iya ke?”

          “Ooo.” Masing-masing membulatkan mulut sambil terangguk-angguk sendiri.

          “Korang ni… macam-macam.” Kak Rumaysa tidak mampu menahan bibirnya dari tersungging dengan senyuman. Tawanya terletus.

          “Alhamdulillah. Sekarang baru saya faham. Ujian itu tanda ALLAH sayang. Dan kita kena sabar saat diri diuji… Jazakillahu khair kak Rumaysa atas pencerahan. Hihi.” Farah bersuara girang. Laju sahaja tangannya mencatat isi penting di dalam buku nota usrahnya.

          “Waiyyaki.”

          “Kak… rasa itu pun satu ujian kan?” Perlahan Hannah bersuara. Pandangannya tepat menikam mata kak Rumaysa.

          “Hmm.” Kak Rumaysa mengangguk kecil. “Bahkan seluruh kehidupan kita inipun suatu ujian.”

          “Rasa sayang, rasa cinta… itu suatu fitrah. Salurkanlah ia sebaiknya. Tempatkan ia di tempat yang betul dan sewajarnya. Berikan sayang dan cinta itu kepada yang berhak.”

          “Tapi… untuk melakukannya tidak semudah kita bercakap, kak…” Bergetar suara Hannah.

          “Iya. Akak tahu itu. Akak faham.”

          “Akak tak akan pernah faham kalau akak sendiri tidak pernah melaluinya!” Kali ini suara Hannah sedikit meninggi.

          Farah menggosok-gosok bahunya. Mahu menenangkan si teman yang sudah turun naik nafasnya.

          Kak Rumaysa menarik nafas panjang. Matanya dipejam kejap. Mencari kekuatan. Matanya kemudian dibuka dan pandangannya terarah tepat ke anak mata bundar Hannah.

          “Akak tahu dan akak faham apa yang Hannah rasa kerana akak sendiri pernah melaluinya…” 

Setitis demi setitis mutiara kaca jatuh ke pipi kak Rumaysa. Dia benar-benar kesal dengan khilafnya. Dia tidak malu untuk mengakui kesilapannya di hadapan anak-anak usrahnya sendiri. Dia mahu mereka mengambil pengajaran daripada kisah hidupnya.

          “Kalau kita sendiri tidak ubah diri kita… ALLAH tak akan ubah nasib kita, dik…”

          Iya. Itulah ayat yang dipegangnya untuk dia berubah menjadi baik selama ini. ALLAH tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum melainkan mereka sendiri yang mengubah nasib mereka. Itu firman ALLAH dalam surah Ar-Ra’d ayat kedua.

          “Susah kak… saya dah cuba…” Kali ini air mata Hannah pula yang mengalir laju. Bagaikan paip bocor. Tidak berhenti-henti mengalir biarpun sudah dikesat berkali-kali.

          “Hannah, kadang-kadang apa yang kita suka itu tak baik untuk kita. Dan apa yang kita benci tu tak semestinya buruk untuk kita…” Zinnirah yang berada di sisi kiri menggenggam tangan Hannah menyalurkan kekuatan.

          “Pengorbanan itu perlu untuk kebaikan, Hannah.” Humaira bangun mendekati Hannah yang sudah teresak-esak di bahu Zinnirah.

          “Anggaplah pengorbanan tu macam ubat… Walaupun pahit untuk ditelan, tapi kita paksakan juga untuk memakannya. Kerana kita tahu ubat itu akan menyembuhkan…” Usapan lembut Humaira di bahu Hannah bersama bisikan perlahan itu benar-benar meresap masuk ke tangkai hati Hannah.

          “Mulakan perlahan-lahan… Susah memang susah. Akak akuinya. Tapi tak bermakna yang susah itu kita tak boleh buat, kan?”

          “Kami sentiasa ada untuk Hannah. Dan yang paling penting… DIA sentiasa ada. ALLAH sentiasa ada, Hannah. Mengadulah pada DIA. Mintalah pada DIA. Pasti DIA akan mendengarnya.”

          “ALLAH tahu Hannah kuat. DIA tahu Hannah boleh hadapi ujian ini dengan jayanya. Sebab tu DIA pilih Hannah dalam ramai-ramai orang.” Rumaysa tepuk tangan Hannah.

          “Dan… kami tahu yang Hannah kami ni kuat. Kan? Kan?” Farah bersuara ceria. Suasana yang suram tadi kembali bercahaya.

          “Insyaa-ALLAH. Hannah cuba.” Hannah mengesat saki-baki air matanya sambil tersenyum. Walau mata masih merah tapi mendung di wajahnya sudah hilang. Yang tinggal hanya cahaya dan harapan.
          “Macam inilah Hannah yang kami kenal…”

          Wajah-wajah bersih di hadapan dan di sisinya ditatap satu persatu. Bibirnya meluahkan empat huruf. Jay. Zack. Kay. Kay. Jazakillahu khair. Semoga ALLAH membalasnya dengan kebaikan.

          Tidak sia-sia dia meluahkan segala rasa yang terbuku kepada mereka. Rasa malu dan segan dibuang jauh-jauh. Dia tahu yang mereka pasti akan membantunya. Mereka tidak akan memandang remeh pada dirinya.

          Iya! Aku mesti kuat. Aku mesti sabar dengan ujian ini. ALLAH tahu yang aku mampu melepasi ujian ini dengan jayanya. ALLAH tahu aku kuat. DIA lebih tahu… Iya! DIA lebih tahu!

          Syukran lillah. Hamdan lillah. Terima kasih, ya ALLAH. Terima kasih kerana memberikan aku sahabat-sahabat seperti mereka ini. Yang hadirnya mereka di sisiku memberikan ketenangan. Yang adanya mereka di sampingku menyalurkan kekuatan. Saling melengkapkan apa yang terkurang. Saling mengingatkan apa yang terlupa. Saling menutup segala kelemahan. Sungguh manis ukhuwah kerana-MU, ya ALLAH.

ENGKAU satu cinta
Yang selamanya aku cari
Tiada waktu ku tinggalkan
Demi cintaku kepada-MU

Walau seribu rintangan
Kan menghadang dalam diri
Ku teguhkan hati ini
Hanya pada-MU
         

 Nota kaki: Sebenarnya cerpen ini terinspirasi daripada  Cerpen Sebab ALLAH Tahu. Tapi saya punya versi perempuan. 

Entah. Tetiba gatal tangan untuk menulis. Padahal sekarang ini masa kritikal. Final project, assignment, reports dan exam...semuanya memburu-buru diri ini. Sebelum final exam menyusul 2 minggu lagi. 

Apa yang baik datang daripada ALLAH. Apa yang tidak baik datang daripada kelemahan saya sendiri. Andai ada silap dan salah dalam penulisan harap dibetulkan. 

Moga ALLAH redha. Ameen. Insyaa-ALLAH.