Thursday, March 14, 2013

Ketokohanmu, Umar Abdul Aziz

Assalamu'alaikum wbt.

Sudah lama rasanya tidak mencoret di kanvas hijau ini. Alhamdulillah sudah masuk minggu kedua pengajian semester musim bunga 2013. Officially sudah bergelar pelajar tahun akhir. Alhamdulillah thumma alhamdulillah.

Okey. Kembali kepada topik asal. Pernah dengar nama Umar Abdul Aziz? Saya percaya pasti anda pernah mendengar nama ini. Paling tidak pun pernah mendengarnya sewaktu belajar subjek Sejarah di sekolah menengah. 

Siapakah Umar Abdul Aziz ini? Nama beliau ialah Umar Bin Abdul Aziz. Ayahnya bernama Abdul Aziz Bin Marwan manakala ibunya ialah Laila Binti 'Asim. Beliau merupakan khalifah pada zaman Umayyah.

Aha. Pernah tak dengar kisah gadis bersama ibunya yang enggan mencampurkan susu dengan air? Pada ketika itu Saidina Umar al-Khattab sedang membuat penyamaran dan terdengar perbualan ibu dan anak ini. Kisah ini amat popular saya kira. 

Gadis ini telah dinikahkan oleh Umar Al-Khattab dengan anak lelakinya yang bernama 'Asim. Daripada perkahwinan inilah lahirnya ibu kepada Umar Bin Abdul Aziz ini iaitu Laila Bin 'Asim. 

Harapan Umar Al-Khattab sewaktu mengahwinkan anaknya dengan gadis yang jujur itu amatlah besar. Katanya, "Semoga lahir dari keturunan gadis ini bakal pemimpin yang hebat kelak yang akan memimpin orang-orang Arab dan Ajam." 

Penyatuan Abdul Aziz Bin Marwan dan Laila Binti 'Asim ini melahirkan seorang Umar Bin Abdul Aziz. Beliau merupakan cicit kepada Umar al-Khattab. 

Walaupun ayahnya orang Mesir, khalifah Umar Bin Abdul Aziz ini membesar di Kota Madinah. Beliau diasuh oleh Abdullah Bin Umar Al-Khattab; abang kepada  'Asim. Beliau juga diasuh oleh para sahabat Rasulullah seperti Anas Bin Malik, Abdullah Bin Mas'ud dan Abdullah Bin Jaafar Bin Abu Talib. 

Ketika kecil, Umar Abdul Aziz sudah menghafal Al-Quran. Beliau juga menguasai banyak ilmu syariah. Diperkatakan bahawa solatnya persis solat Rasulullah SAW. 

Ketokohan yang dimiliki oleh Umar Abdul Aziz membuatkannya dilantik menjadi gabenor pada usia 25 tahun. Kemudiannya beliau dilantik menjadi khalifah ketika berumur 37 tahun. Hebat bukan sosok seorang Umar Abdul Aziz ini? Beliau telah pun diberi kepercayan memimpin umat Islam ketika usia yang muda. 

Ada satu keistimewaan yang menarik minat saya mengenai Umar Abdul Aziz ini. Beliau merupakan seorang yang paling banyak menangis kerana takutkan balasan api neraka ALLAH. 

Umar Abdul Aziz menangis saat membaca ayat ke-12 hingga 14 surah Al-Furqan yang bermaksud, "Apabila ia (neraka) melihat mereka dari tempat yang jauh, mereka mendengar suaranya yang gemuruh kerana marahnya. Dan apabila mereka dilemparkan ke tempat yang sempit di neraka dengan dibelenggu, mereka di sana berteriak mengharapkan kebinasaan. (Akan dikatakan kepada mereka), "Janganlah kamu mengharapkan pada hari ini satu kebinasaan, melainkan harapkanlah kebinasaan yang berulang-ulang."

Sewaktu di rumah pun beliau menangis kerana takutkan api neraka. Sehinggakan anaknya, Abdul Malik datang bertanyakan kenapakah beliau menangis. Beliau menjawab, "Duhai anakku, ayah takutkan balasan ALLAH seandainya ayah menjadi pemimpin yang tidak adil."

Padahal, jika kita menelusuri rekod sepanjang 7 tahun pemerintahan Umar Abdul Aziz di Madinah, tidak ada langsung rungutan mahupun aduan daripada penduduk Madinah. Sehinggakan pada akhir Umar Abdul Aziz menjadi khalifah, tidak ada seorang pun yang berhak menerima zakat. Beliau juga mengembalikan harta-harta yang dirampas oleh khalifah terdahulu kepada pemiliknya. Bahkan, beliau meminta isterinya menyerahkan barang-barang perhiasan kepada baitul mal untuk diagihkan kepada penduduk yang lebih memerlukan. Betapa mulianya insan yang bergelar Umar Abdul Aziz ini.

Banyak sebenarnya yang kita boleh belajar mengenai ketokohan Umar Abdul Aziz ini. Antaranya ialah berkenaan ketaatan beliau kepada Yang Khaliq. Ketaatan itu membuatkan beliau merasa setiap perbuatannya dilihat oleh ALLAH. Jadi, bagaimana mungkin beliau mampu melakukan sesuatu yang tidak diredhai ALLAH? Kerana setiap gerak gerinya sentiasa di bawah pengawasan Yang Maha Melihat.

Okey. Setakat itu dahulu. Bersama kita mencontohi keperibadian khalifah Umar Abdul Aziz ini. Seorang hamba yang taat. Seorang pemimpin yang adil. Seorang anak didik yang gigih menuntut ilmu. Seorang anak yang soleh dan musleh. 

Nota 1 : Masih belum terlambat saya kira untuk mengucapkan selamat datang ke Korea Selatan kepada semua junior batch 13 yang berjumlah seramai 101 orang. 

Nota 2 : Ehem! Buku Jalanan kini di Seoul! Kepada semua warga Malaysia di Korea Selatan, jangan lepaskan peluang untuk meminjam buku pelbagai genre dari BJ Seoul!^^ 

Bersama membudayakan amalan membaca. 

Jangan lupa melayari Facebook dan Twitter BJ Seoul untuk meminjam buku ya. :')

No comments: