Saturday, February 2, 2013

Hilang

Assalamu'alaikum wbt.

Semalam, 1 Februari 2013, ALLAH izinkan untuk saya merasai betapa sukarnya hidup dalam keadaan penglihatan yang kabur. ALLAH mahu mengajarkan kepada saya betapa pentingnya mensyukuri setiap nikmat yang DIA telah anugerahkan kepada kita; hamba-hamba-NYA terutama sekali nikmat pancaindera. 

Saya kehilangan cermin mata semalam. Hampir seharian jugalah hidup bagaikan tidak lengkap. Sudah bagaikan si buta kehilangan tongkatnya. Cuai sendiri. Perlulah merasa padahnya. 

Saya ada janji dengan seorang sahibah semalam untuk menemaninya menemui pegawai di Kedutaan Malaysia. Ketika menaiki bas dalam perjalanan mahu menemuinya, saya telah kehilangan cermin mata saya. 

Pasti ada yang pelik, bukan? Bagaimana mungkin cermin mata yang elok terletak di pangkal hidung boleh hilang? 

Sudah tentulah saya tidak memakainya ketika itu. Maklum sahajalah, dalam keadaan sejuk dan dingin sebegini, apabila kita memasuki suatu ruang, pasti sahaja akan berwap. Tidak selesa dengan wap yang hadir di sekitar cermin mata, saya menanggalkannya seusai sahaja melabuhkan duduk di atas bangku bas. Belum sempat mahu mengelap cermin mata, telefon berbunyi. Terus saya letakkan cermin mata di atas riba dan menjawab panggilan. Kemudian mesej dari Kakao Talk dan Facebook pula masuk berturut-turut. Leka membalas segala mesej saya memang terlupa akan cermin mata yang diletakkan di atas riba tadi. 

Sebaik sahaja tiba di Sadang Station, terus sahaja saya bangun dan meluru keluar dari perut bas. Memang waktu itu, tidak teringat langsung mengenai cermin mata. Huhu. Apabila sudah keluar dan menapak beberapa langkah ke hadapan, barulah saya tersedar dan berasa pelik sendiri kenapakah pandangan saya kabur semacam sahaja. Baru tersedar yang saya tidak memakai cermin mata rupanya. 

Habis digeledah segala poket pada beg dan pada overcoat. Tahulah saya yang saya telah dengan tidak sengaja menghilangkan cermin mata saya sendiri dengan meninggalkannya di atas bas. Bas baru sahaja berlalu melintasi tempat saya berdiri. Terus saya berkejar ke arah seberang jalan tempat bas itu berhenti mahu mengambil penumpang. 

Sesampai sahaja di situ terus saya menaiki semua bas tadi dan kembali ke tempat duduk saya tadi mencari-cari cermin mata saya. Terhendap-hendap di antara kerusi. Seorang pak cik  menegur saya bertanya apa yang sedang saya cari. Saya maklumkan padanya yang saya sedang mencari cermin mata yang saya tertinggal tadi. Pak cik itu pun turut membantu saya mencari. Namun, hasilnya menghampakan. Saya tidak menjumpai cermin mata saya itu. Apabila bas sudah mahu bergerak pergi, saya tergesa-gesa menuruni bas dalam keadaan kecewa. 

Hmm. Tidak mengapalah. Mungkin setakat ini sahaja rezeki dan jodoh saya dengan cermin mata itu. Adalah hikmahnya itu. Itulah yang saya ulang berkali-kali kepada diri sendiri. Lebih kepada memujuk diri sendiri sebenarnya. 

Saya kemudiannya meneruskan perjalanan untuk bertemu sahibah dengan pandangan yang agak kabur. Tergapai-gapai jugalah. Maklum sajalah, sebelum ini penglihatan cerah dan terang sahaja, tapi kali ini perlu berjalan dalam keadaan tidak sempurna ini. Huhu. 

Insaf sekejap. Terfikir sendiri. Bagaimanalah agaknya orang yang buta itu ya? Pasti mereka lebih sukar lagi menghadapi hari-hari yang mendatang tanpa anugerah dan nikmat penglihatan. Sedangkan saya yang rabun inipun sudah sukar untuk bergerak dengan penglihatan yang kabur. Alhamdulillah, ALLAH izinkan saya untuk merasai kehilangan ini supaya saya lebih mensyukuri setiap nikmat ciptaan-NYA. Mensyukuri juga setiap musibah dan ujian yang DIA timpakan kepada saya. 

Setelah tiba di tempat yang dijanjikan, kami meneruskan perjalanan ke Kedutaan Malaysia. Selesai sahaja segala urusan di sana, ketika sedang menunggu bas untuk pulang saya tanyakan kepada sahibah berkenaan berapa lama agaknya masa yang diambil untuk membuat cermin mata di sini. Rupanya sahibah ingatkan saya memakai contact lens. Sebab itulah dia tidak bertanya perihal ketiadaan cermin mata kepada saya. Huhu. Sekali pun tidak pernah mencuba untuk memakai contact lens

Dalam perjalanan pulang itulah kami singgah sebentar ke kedai cermin mata. Optometrist lebih tepat saya kira. Setelah menunggu lebih kurang 30 minit, dapatlah cermin mata baharu. Melayanglah hampir RM 200 semalam. Lebih tepat, KRW 54,000. 

Malamnya saya telefon Ummi. Sekadar mahu mengadu mengenai kehilangan cermin mata ini. Sempatlah juga kena marah-marah sayang dengan Ummi. Hoho. Iyalah. Dengar sajalah. Memang tahupun salah sendiri. Cuai sangat. Huhu.

Di akhir perbualan Ummi pesan pada saya. "Tak apalah. Nak buat macam mana lagi. Yang hilang tu biarlah. Adalah tu ALLAH nak berikan yang lebih baik lagi. ALLAH nak gantikan dengan yang lebih baik lagi. Jangan risau. Jangan pernah berputus asa dengan rahmat ALLAH. Kita tak tahu dan tak nampak hikmahnya sekarang. Tapi pasti ada hikmahnya. DIA  lebih tahu."

Huu. Tenang rasa hati. 

Peringatan untuk diri saya supaya selepas ini perlu lebih berhati-hati. Jangan cuai. Periksa dulu tempat duduk sebelum keluar dari bas atau subway atau apa sahajalah. 

"Patah tumbuh, hilang berganti." Memang betul. Tapi, yang baharu tidak sama nilainya dengan yang lama. Sentimental value itu tidak sama. Huu. 

Nota : Post yang ditulis sekadar untuk meluahkan rasa dan mengingatkan diri agar tidak cuai lagi pada masa akan datang. Alert. Itu yang penting. 




No comments: