Monday, January 7, 2013

Berubah Sebelum Mengubah

Assalamu'alaikum wbt.

Semalam, lewat laman Facebook,saya sempat bersembang dengan kak Anys - salah seorang penulis Jemari Seni. Kak Anys ada menyatakan kekesalannya mengenai cara ibu bapa sekarang melayan anak-anak mereka. 

Kak Anys : Tak boleh tengok budak kena marah depan orang ramai. Dekat shopping complex selalu anak lari-lari terlanggar orang, sepatutnya ibu bapa ajar anak-anak minta maaf. Bukannya pergi marah anak-anak depan kita dan ibu bapa tak cakap maaf pun pada kita. Hmm...sedikit pelik dengan budaya dan nilai orang sekarang. :'(

Saya : Ha. Yang part ibu bapa marah anak-anak depan orang ramai itu saya tidak berapa setuju sangat. Memanglah malu anak-anak buat perangai. Tapi kena fikir juga, anak-anak jadi macam tu pun sebab ajaran siapa. Sepatutnya ibu bapa kena cakap elok-elok. Bukan hanya marah begitu sahaja. Haruslah diterangkan kenapa tidak boleh buat begitu, kenapa perlu buat begini. Anak-anak pasti akan faham. Perlu ingatkan siap-siap sebelum keluar rumah lagi sebenarnya. 

Itu apa yang saya rasalah. Belum ada pengalaman sendiri. Sekadar memerhati dan membuat kesimpulan sendiri sahaja. :')

Kak Anys : Kak Anys pun dok perhati saja sebab tak ada pengalaman. Cuma risau lihat situasi seperti ini di mana-mana. Jaga adik tak sama dengan jaga anak sendiri. Tanggungjawab ibu bapa jauh lebih besar dan mencabar. Apapun, anak-anak sentiasa melihat setiap gerak-geri dan tingkah laku ibu bapa. Nak anak baik, ibu bapa pun kena baik sama. Semoga kita semua jadi contoh yang baik untuk generasi hari ini dan akan datang. :')

Saya : Betul saya setuju. Jaga adik sekejap pun saya sudah rasa hilang sabar. Bagaimana bila jaga anak sendiri nanti? Terus rasa, masih belum layak lagi untuk bergelar ibu. Insyaa-ALLAH. Sama-samalah kita berusaha menjadi contoh yang baik untuk semua. Untuk membaikkan orang, perlu jadi baik dulu. Pokok pangkalnya semua pun bermula dengan diri sendiri. Bersedia untuk berubah untuk mengubah masyarakat. :')

Begitulah sedikit sebanyak perbualan kami semalam. Apa pendapat anda mengenai ibu bapa yang melayan anak-anak mereka sebegini? Main marah saja anak di khalayak. 

Saya jadi teringat firman ALLAH dalam surah ar-Ra'd ayat ke-11. 

"...Sesungguhnya ALLAH tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri..." 
[Ar-Ra'd, 13:11]

Kita sering sahaja melihat ayat ini bukan? Murabbiah saya cakap, bekas presiden Korea Selatan pun termotivasi dengan ayat ini. Saya tak ingatlah apa nama presiden itu. Yang pasti Kim nama depan dia. Apa yang pasti, dia berusaha berubah dan mengubah orang Korea sehingga Korea menjadi semaju hari ini.

Saya yakin dan percaya, kita semua mahukan yang baik-baik saja. Jika kita tidak suka melihat cara ibu bapa zaman sekarang melayan anak-anak sebegitu, kita juga tidak patut melayan anak-anak kita nanti seperti itu.

Mungkin sekarang ini kita hanya mampu memandang perbuatan para ibu dan bapa ini. Iyalah. Apalah kuasa yang kita ada untuk menasihati mereka, bukan? Tapi kita ada kuasa untuk melarang keras diri kita daripada mengikuti perbuatan mereka itu. Kata mahu bina keluarga bahagia, punya anak-anak yang mendengar kata... Ha, ini adalah salah satu cara untuk menuju ke arah itu. Perhatikan mereka yang sudah berkeluarga di sekeliling kita, lihat cara mereka melayan keluarga dan anak-anak mereka. Apa yang baik, kita boleh contohi dan amalkan dalam keluarga kita. Apa yang tidak baik, kita jadikan sempadan supaya kita tidak melakukan perkara yang sama.

Perlu diingat, anak-anak itu dilahirkan bersih dan suci. Ibarat kain putih yang tidak tercemar oleh kotoran. Ibarat salju yang turunnya putih tiada tercela. Kita sebagai ibu bapa inilah yang akan mencorakkan mereka nanti. Ajaran dan dididikan kitalah yang akan membentuk dan mendarahdagingkan dalam diri anak-anak kita nanti.

Dari itu, kita dahululah yang perlu berubah sebelum mengubah. Mahu membina baitul muslim yang penuh dengan rahmat wa sakinah wa mawaddah, kita perlu menjadi individu muslim yang mantap terlebih dahulu. Kemudian dari situlah akan lahirnya masyarakat muslim yang mengamalkan Islam pada setiap juzuk kehidupan. Insyaa-ALLAH.

Bak kata Aiman Azlan, "Don't become a parent only after the birth of your first child, start becoming a parent NOW!"


Jadi, mulakanlah menjadi ibu dan bapa mulai hari ini. Mulakan melayan adik-beradik kita sebaiknya. Mulakan memerhati bagaimana ibu bapa kita mencorakkan keluarga kita. Mulakan memperluaskan pembacaan.

Yang paling penting sekali, mulakan merubah diri terlebih dahulu sebelum mengubah orang lain. Mana mungkin anda mampu mengubah orang jika anda sendiri masih berada pada tampuk lama? Insyaa-ALLAH, sama-samalah kita berusaha untuk berubah menjadi lebih baik daripada semalam. :')


Nota 1: Mahu ke medan peperangan perlukan persiapan dan kelengkapan yang lengkap. Mahu melangkah ke gerbang perkahwinan perkahwinan pun perlukan persiapan dan kelengkapan yang lengkap, tahu?

Nota 2: Oh, kelas musim dingin sudah mahu melabuhkan tirainya sedikit hari lagi. Selepas itu, diri ini mahu mencari damai di hati. Mahu membawa diri mengenal pasti rasa hati sendiri. >.<


No comments: