Thursday, November 15, 2012

Salam Maal Hijrah 1434H

Assalamu'alaikum wbt.

Salam Maal Hijrah 1434H buat semua.
 Semoga 1433H yang sudah berlalu meninggalkan kenangan yang terindah buat semua. 
Semoga 1434H yang mendatang ini juga bakal memberikan seribu erti kepada kita semua. 

Selamat Tahun Baharu 1434H.
Semoga tahun ini lebih baik dari sebelumnya. Insya-ALLAH.


Pertama dan utamanya saya ingin menyusun sepuluh jari memohon kemaafan buat semua. Saya janji mahu kongsi mengenai amalan di bulan Muharram semalam kan? Kita merancang. ALLAH juga merancang. Sesungguhnya perancangan ALLAH itulah yang terbaik. 

ALLAH tidak mengizinkan saya menjenguk laman blogger ini pun semalam. Semalam ALLAH izinkan saya mengisi masa dengan memperkemaskan segala isi untuk presentation hari ini. Go through balik speech yang telah dibuat. Touch up presentation slide. Iya. Semuanya berkisar persediaan mental dan fizikal untuk menghadapi presentation hari ini. 

Baiklah. Kembali kepada tujuaan asal entri ini ditulis. 

*****


1 Muharram 1434H bersamaan 15 November 2012. Tahun 1433H telah berlalu dengan pelbagai kenangan melakar kanvas hidup kita semua. Kini, Muharram tiba lagi. Bagaimana dengan persediaan kita menghadapi awal Muharram ini? Bagaimana pula dengan perancangan untuk tahun baharu hijrah ini? Sudah siap merangka segala perancangan hidup untuk setahun ke hadapan?



ALLAH SWT berfirman (maksudnya), “Sesungguhnya jumlah bulan menurut ALLAH ialah dua belas bulan, (sebagaimana) dalam ketetapan ALLAH pada waktu DIA menciptakan langit dan bumi, di antaranya ada empat bulan haram.
Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menzalimi dirimu dalam bulan (yang empat itu),…”
[At-Taubah, 9: 36]

Nabi Muhammad SAW bersabda, “Waktu itu telah berputar sebagaimana biasa sejak ALLAH menciptakan langit dan bumi. Satu tahun ada 12 bulan, di antaranya empat bulan haram. tiga bulan berturut-turut, iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, Muharram, dan satu lagi ialah Rejab yang terletak di antara Jamadil Akhir dan Syaaban.”
[Hadis Riwayat al-Bukhari]

Muharram ialah bulan yang mulia dan ia memiliki keutamaannya yang tersendiri. Nabi Muhammad SAW menyatakan bahawa Muharram ialah bulan ALLAH, dan puasa yang paling afdal setelah Ramadan ialah puasa dalam Muharram.

Rasulullah SAW bersabda, “Puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan ialah puasa di bulan ALLAH, al-Muharram. Solat yang paling afdal setelah solat yang difardukan adalah solat pada malam hari.”
[Hadis Riwayat Muslim]

Dalil-dalil ini semuanya menunjukkan kemuliaan di bulan haram, terutamanya Muharam. Selain itu, di dalamnya turut ditegaskan lagi akan larangan menganiayai diri sendiri. Ini menunjukkan perbuatan maksiat di bulan haram lebih diharamkan lagi berbanding bulan-bulan selainnya. Sebaliknya, amalan soleh pula akan diberikan ganjaran yang besar.

             Pada bulan-bulan haram, umat Islam diharamkan untuk berperang melainkan sekiranya umat Islam lebih dahulu diserang atau diperangi. Pada ketika umat Islam terlebih dahulu diserang, mereka dibolehkan untuk mempertahankan diri dan membuat serangan balas.

Amalan Sunnah Di Bulan Muharram

Berpuasa sunat

Sebagaimana disebutkan dalam hadis di atas, puasa yang paling afdal setelah puasa Ramadan adalah puasa Muharram. Maksud puasa dalam hadis tersebut adalah puasa sunat secara umum. Memperbanyakkan amalan puasa sunnah dalam bulan ini terutamanya pada hari ke-10 Muharram adalah termasuk sunnah-sunnah yang sangat dianjurkan.

Abdullah Bin Abbas r.a berkata, “Nabi tiba di Madinah dan baginda mendapati orang-orang Yahudi sedang berpuasa Asyura (hari ke-10 Muharram).”
Nabi bertanya, “Puasa apakah ini?”
Orang-orang menjawab, “Hari ini adalah hari yang baik, iaitu hari di mana ALLAH telah menyelamatkan bani Israel daripada kejahatan musuhnya,
maka Musa pun berpuasa sebagai tanda syukur beliau kepada ALLAH dan kami pun turut serta berpuasa.”
Nabi SAW pun berkata, “Kami lebih berhak terhadap Musa daripada kamu semua.” Akhirnya Nabi pun berpuasa dan memerintahkan umat Islam untuk berpuasa.”
[Hadis Riwayat Bukhari]

Sejarah penetapan puasa Asyura mengalami beberapa fasa. Pada awalnya, ketika di Makkah Nabi berpuasa Asyura tanpa memerintah orang lain untuk berpuasa. Kemudian apabila sampai di Madinah, baginda tetap terus berpuasa di hari Asyura dan memerintahkan umat Islam agar turut berpuasa. Namun setelah kewajiban berpuasa Ramadan turun, puasa pada hari Asyura menjadi sunnah dan tidak diwajibkan.

Rasulullah bersabda, “Sesiapa yang hendak berpuasa (pada hari Asyura), silakan berpuasa, bagi yang tidak berpuasa, juga tidak mengapa.”
[Hadis Riwayat Bukhari]

Kemudian ketika di penghujung hayat baginda, Rasulullah SAW bertekad untuk tidak hanya berpuasa pada hari Asyura (hari ke-10) Muharam, tetapi juga bertekad untuk puasa pada hari yang ke-9.

Ibnu ‘Abbas r.a berkata, “Ketika Nabi sedang berpuasa pada hari Asyura dan memerintahkan para sahabatnya untuk turut berpuasa, 
para sahabat berkata, “Wahai Rasulullah, hari Asyura adalah hari yang diagungkan oleh Yahudi dan Nashara.”
Maka Rasulullah SAW berkata, “Jika begitu, tahun depan insya-ALLAH kita puasa sekali pada hari yang ke sembilannya.”
 Ibnu ‘Abbas berkata, “Tetapi belum sempat sampai tahun depan,
 beliau telah wafat terlebih dahulu.” 
[Hadis Riwayat Muslim]

Dari hadis ini, umat Islam tidak hanya disunnahkan agar berpuasa di hari ke-10 Muharam atau dikenali sebagai hari Asyura, tetapi juga turut disunnahkan agar berpuasa pada hari ke sembilan Muharam.

Rasulullah mengisyaratkan tentang kelebihan puasa ‘Asyura sebagaimana sabdanya,

 “Adapun puasa di hari Asyura, aku memohon kepada ALLAH agar ia dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.”
 [Hadis Riwayat Muslim]

Perbanyakkan amalan soleh yang lain juga seperti berzikir, qiamullail, bersedekah dan sebagainya. 

*****
Baiklah. Ini pula sedikit perkongsian yang Ummi saya kongsikan dengan saya lewat panggilan telefon kami hujung minggu lepas.

Perkongsian mengenai amalan awal Muharram oleh Ustaz Zainal Abidin bin Abdul Rahman, pendakwah yang bekerja di Majlis Agama Islam Kelantan. 

Puasa pada bulan Muharram


Daripada Abi Hurairah RA, telah bersabda Rasullullah SAW yang maksudnya: "Seafdal-afdal puasa selepas Ramadhan ialah puasa pada bulan Allah iaitu bulan Muharram dan 
seafdal-afdal solat selepas solat fardhu ialah solat malam." 
[Riwayat Muslim]

Daripada Ibu 'Abbas r.a. katanya, telah bersabda Rasullullah s.a.w. maksudnya: "Sesiapa berpuasa pada hari 'Arafah nescaya terhapus dosanya dua tahun dan 
sesiapa berpuasa satu hari daripada bulan Muharram 
maka untuknya setiap sehari (mendapat pahala) 30 hari."
 [Dikeluarkan oleh al-Tabrani]

Puasa pada hari 'Asyura (10 Muharram)

Daripada Abi Qatadah RA bahawasanya Rasullullah s.a.w. telah ditanya mengenai puasa hari 'Asyura (yakni hari ke-10 bulan Muharram) maka sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud: 
"Ia akan menghapuskan dosa setahun yang lalu." 
[Riwayat Muslim]
Puasa hari Tasu'a (9 Muharram)

Ia disunatkan, walaupun Rasullullah s.a.w. tidak sempat mengerjakannya, bagaimanapun
 baginda s.a.w. bersabda maksudnya: "Sesungguhnya jika aku hidup pada tahun hadapan, 
aku akan berpuasa pada 9 Muharram." 
[Riwayat Ahmad dan Muslim]

Nota: Puasa sunat pada hari ke-10 Muharram hendaklah digabungkan dengan hari sebelumnya iaitu pada hari ke-9 atau dengan hari selepasnya (yakni hari ke-11) dan lebih baik lagi dikerjakan tiga hari berturut-turut iaitu pada hari ke-9, ke-10 dan ke-11. Jika dilakukan 10 Muharram sahaja maka hukumnya makruh kerana menyerupai amalan orang Yahudi.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud: "Berpuasalah pada hari 'Asyura (10 Muharram) dan janganlah menyamai perbuatan orang Yahudi; 
oleh itu berpuasalah sehari sebelum dan sehari sesudahnya." 
[Riwayat Imam Ahmad]

Ustaz Zainal Abidin Abdul Rahman juga berkongsi mengenai amalan yang kita boleh lakukan sepanjang 7 hari pertama Muharram. Amalan ini khusus untuk kita buat 'air tawar'. Hmm. Macam air bacaan Yassin dan air solat hajat yang kita selalu buat tu. 

Kata ustaz, ayat-ayat ini perlulah dibaca selepas Subuh pada hari-hari berkenaan. Kalau tak dapat habiskan selepas Subuh pun tidak mengapa, asalkan habiskan sehingga sebelum masuk hari seterusnya.

Hari pertama, 1 Muharram : Baca ayat Kursi 360 kali dan surah al-Fatihah 70 kali.
Hari kedua, 2 Muharram : Baca ayat Kursi 70 kali.
Hari ketiga, 3 Muharram : Baca surah al-Insyirah 70 kali.
Hari keempat, 4 Muharram : Baca surah al-Qadr 70 kali.
Hari kelima, 5 Muharram : Baca surah al-Ikhlas 70 kali.
Hari keenam, 6 Muharram : Baca surah al-Falaq 70 kali.
Hari ketujuh, 7 Muharram : Baca surah an-Nas 70 kali.

Air ni hanya boleh diminum atau digunakan setelah selesai kesemua bacaan ini. Makna kata, selepas hari ketujuh baru boleh minum. Doakanlah apa-apa sahaja hajat yang kita mahukan. Mahu mudah mengingat pelajaran dan menghafal al-Quran, mahu mudah bangun pagi, mahu terang hati, mahu dipercepatkan urusan jodoh, mahu cepat kahwin...apa-apa sahajalah yang kita mahu. 

Pesan ustaz, kita kenalah yakin dengan usaha yang kita buat ini. Ini sekadar usaha. Yakinlah hanya ALLAH yang mampu memberikannya. Bukan melalui air yang kita minum ini, tetapi melalui usaha dan doa yang kita amalkan itu. Seperti mana kita makan ubat ketika demam atau sakit. Kita makan ubat itu sebagai usaha kita untuk sembuh. Yakinlah yang ALLAH akan menyembuhkan kita melalui ubat itu. 

Kata ustaz lagi, memandangkan tahun baharu hijrah kali ini jatuh pada hari Khamis, lebih afdal sekiranya kita berpuasa pada 1, 2 dan 3 Muharram, 3 hari berturut-turut. Maknanya puasa pada hari Khamis, Jumaat dan Sabtu. Ini untuk kita-kita yang tidak berapa nak rajin inilah kata ustaz. Kalau orang rajin, dia akan berpuasa selama 10 hari pada awal Muharram ini. 

Untuk kita-kita yang tidak berapa rajin ini, bolehlah berpuasa pada 1,2 dan 3 Muharram dan puasa pada hari as-Syura iaitu pada 9 dan 10 Muharram ataupun 10 dan 11 Muharram. Tapi kalau kata nak puasa 9, 10 dan 11 Muharram pun boleh. 

Sehari kita berpuasa pada bulan Muharram ini kan bersamaan dengan 30 hari kita mendapat pahala. Jadi marilah sama-sama kita merebut peluang keemasan yang hanya datang setahun sekali sahaja ini. Insya-ALLAH.

Nota 1 : Pukul 3 petang nanti saya ada presentation mengenai The Veil. Harapnya mereka semua (professor dan rakan sekelas) terbuka mata mengenai Islam dan tidak menganggap memakai tudung itu sesuatu yang kolot serta ketinggalan zaman lagi selepas ini. Semoga mereka tidak memandang rendah terhadap wanita Islam yang bertudung ini lagi. Ameen. Insya-ALLAH. Doakan.

Nota 2 : Pagi ini awal-awal pagi sudah ditimpa 'kemalangan'. Entah macam mana salah satu daripada botol-botol syampu, shower foam dan pelembap itu boleh terjatuh dari atas rak menimpa kaki saya. Terasa pedih. Tengok-tengok sudah berdarah. 

Ada la ni, ALLAH nak tegur saya. Mungkin ada salah saya di mana-mana. Mohon kemaafan dari semua yang membaca. Harap dimaafkan kesalahan saya yang tidak menepati janji ini. Huhu. 

Nota 3 : Gaza under attack! Pray for Gaza! 
Iya. Pagi ini dikejutkan dengan bumi Gaza diserang lagi. Malam tadi mendapat emel yang mengatakan bahawa pemimpin HAMAS, Ahmed Jabari telah syahid ditembak oleh peluru berpandu Israel. ALLAHU AKBAR! 

Beliau merupakan pemimpin nombor 2 Izzudin al-Qassam dan bertanggung jawab dalam pembebasan Gilat Shalit. Ahmed Jabari merupakan antara pemimpin tertinggi HAMAS yang dibunuh selepas Sheikh Ahmad Yassin dan Dr. Abdul Aziz ar-Rantisi. Beliau telah menunaikan janjinya kepada ALLAH. Bagaimana pula dengan kita?  Moga ALLAH merahmati rohnya. 


"Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan ALLAH itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki."
 [Ali Imran, 3:169]

Tadahkanlah kedua tanganmu. Berdoalah. Layangkan doa kepada saudara seagama kita di Gaza sana. Semoga mereka diberikan kekuatan oleh ALLAH untuk terus tabah dan bersabar. Semoga ALLAH melindungi mereka daripada kekejaman rejim Zionis. 

No comments: