Monday, September 17, 2012

Spread The Love

Assalamu'alaikum wbt.

Seminggu ini kita dikejutkan dengan filem Innocence of Muslims. Sebuah filem garapan Sam Bacile yang menghina Rasulullah SAW. Umat Islam di seluruh dunia memberikan reaksi terhadap pengeluaran filem ini. Hal ini juga mengakibatkan kemarahan masyarakat Islam di Libya dan Mesir. Pegawai kedutaan Amerika Syarikat di Libya diserang dan pejabat kedutaan Amerika Syarikat di beberapa negara Islam yang lain juga diserang. Itu reaksi umat Islam setelah diprovokasi.

Persoalannya di sini, bagaimanakah sepatutnya kita sebagai seorang Muslim bereaksi terhadap hal-hal sebegini? Adakah betul tindakan yang telah kita lakukan dengan menyerang pejabat-pejabat kedutaan Amerika Syarikat itu? Lau kaana bainana...Seandainya Rasulullah SAW ada bersama kita pada hari ini, adakah baginda menyukai reaksi kita itu? Adakah baginda akan tersenyum melihat tindakan kita?

Marilah sama-sama kita telusuri kisah Rasulullah SAW sewaktu di awal permulaan dakwah Islam pada zaman Mekah.

Kisah Rasulullah dan penduduk Thaif.
Rasulullah dilemparkan dengan batu sewaktu berdakwah di Thaif. Badan baginda habis berlumuran darah. Tindakan penduduk Thaif itu mengundang cadangan malaikat yang mahu memusnahkan penduduk Thaif dengan meruntuhkan gunung Thaif. Namun Rasulullah menolak tawaran malaikat itu. Baginda malah mengangkat tangan dan berdoa kepada ALLAH, "Semoga ada dalam kalangan mereka termasuk dalam kalangan orang-orang yang beriman." Dan, doa baginda itu dimakbulkan ALLAH. Lama selepas itu, penduduk Thaif telah memeluk agama Islam.

Kisah Rasulullah sewaktu Fathu Mekah
Sewaktu baginda bersama 100,000 umat Islam yang lain bergerak masuk ke Mekah, seluruh penduduk Mekah lari menyembunyikan diri. Kemudian apabila baginda memanggil mereka untuk berkumpul. Mereka sekarang ini telah bersedia dengan sebarang kemungkinan untuk menerima sebarang keputusan daripada Rasulullah. Namun sebaliknya yang berlaku. Baginda tidak mengenakan sebarang tindakan kepada penduduk Mekah, baginda malah memaafkan dan membebaskan mereka seterusnya mendoakan semoga ALLAH mengampuni segala kesalahan penduduk Mekah selama ini.

Kisah Rasulullah dengan seorang tua
Jalan-jalan yang nabi selalu lalui pasti akan dipenuhi dengan duri-duri yang melukakan kaki baginda. Setiap hari pasti Rasulullah SAW akan berdepan dengan perkara yang sama. Baginda tidak pernah merungut. Pada saat dan ketika yang sama juga, baginda tidak pernah terlupa untuk memberikan makanan kepada seorang tua yang buta. Baginda bukan sahaja menyuapkan, malah menolong mempermudahkan orang tua itu untuk mengunyah dan menghadam setiap makanan yang baginda berikan. Keadaan ini berterusan sehinggalah Rasulullah SAW wafat. Kemudian, Saidina Abu Bakar meneruskan perbuatan mulia ini. Namun, orang tua itu berkata, "Kamu ini bukan orang yang selalu memberikan aku makan. Ke manakah dia?" Orang tua ini merasai perbezaannya kerana Saidina Abu Bakar hanya menyuapkannya makanan, beliau tidak mempermudahkan orang tua ini untuk mengunyah dan menghadam. Lalu jawab Saidina Abu Bakar, "Rasulullah telah wafat." Maka menangislah orang tua tersebut. Lalu dia menceritakan bahawa dialah yang selama ini yang meletakkan duri-duri di sepanjang jalan yang Rasulullah lalui.

Itu antara kisah yang menunjukkan keperibadian Rasulullah SAW. Ada banyak lagi kisah yang menampakkan sosok kepimpinan, kemuliaan dan peribadi mulia Rasulullah SAW. Baginda malah merupakan Al-Quran bergerak. Betapa di sini, ingin menunjukkan bahawa baginda berperibadi Al-Quran. Masya-ALLAH.

Kewafatan baginda ditangisi para sahabat. Manakan tidak, baginda sepanjang hidupnya merupakan seorang pemimpin yang berkaliber dan berdedikasi, suami yang penyayang, bapa yang pengasih, datuk yang baik, sahabat yang memahami....Baginda masih lagi sempat membantu isteri-isteri menguruskan rumah tangga walaupun ketika menerajui negara dan menganggotai peperangan. Baginda masih lagi boleh melayan isteri, mendidik anak-anak dan bergurau mesra dengan cucu-cucunya walaupun disibukkan dengan pelbagai urusan negara dan kepimpinan. Betapa hebatnya keperibadian baginda.

Jika ditelusuri setiap kisah-kisah ini, kita tidak akan berjumpa walau satu pun kisah yang menunjukkan Rasulullah SAW membalas keburukan dengan keburukan. Rasulullah malah mendoakan mereka yang melakukan keburukan itu dengan kebaikan. Itulah keperibadian Rasulullah - yang sentiasa mendoakan yang terbaik untuk umatnya. Yang sentiasa mengingati umatnya sehingga ke saat-saat terakhir nafasnya. Bibirnya masih lagi menyebut "Ummati...ummati...ummati..."

Bagaimana pula dengan kita pada hari ini? Kita sebagai orang Islam, umat nabi Muhammad SAW, adakah kita mencontohi keperibadian dan perlakuan Rasulullah SAW ini?

Sesiapa sahaja yang apabila diprovokasi pasti akan mencetuskan amarah. Saya pasti itu. Namun, tariklah nafas sebentar, berfikirlah sejenak sebelum bertindak balas atau memberikan sebarang reaksi. Fikirkanlah dahulu baik buruknya tindakan yang akan kita lakukan itu. Keburukan tidak seharusnya dibalas dengan keburukan juga. We need to be reflective not reactive.

Sesuatu harus dilakukan. Kita perlu membuka mata seluruh penduduk dunia. Kita sebagai seorang Muslim perlu memahamkan dan menunjukkan kepada semua apa itu Islam yang sebenar. Kegiatan dakwah perlu diperhebat. Usaha menyampaikan Islam perlu diperhebat. Ya! Itulah yang seharus dan sepatutnya kita lakukan.

Biar semua orang tahu, Islam itu damai dan mendamaikan. Islam itu bukan sekadar di lapisan kulit semata-mata. Islam itu sudah mendarah dan mendaging di dalam diri setiap yang bergelar muslim. Spread the love. Kita mahu semua orang merasai apa itu Islam yang sebenar. Perhebatkan usaha, biar semua orang dapat melihatnya. Kita umat Islam tidak perlu mudah melatah. Kita seharusnya membuktikan bahawa apa yang mereka canang-canangkan tentang Islam itu tidak benar.

ALLAH matlamat kita...
Rasulullah SAW ikutan kita...
Al-Quran petunjuk hidup kita...

Spread the love. Sebarkan rasa cinta dan kecintaan kepada ALLAH, Rasul-NYA dan agama-NYA. Moga-moga dengan usaha penyebaran ini, tidak akan ada lagi kes seperti pengeluaran filem yang menghina Rasulullah ini. Semoga dengan penyebaran ini, akan lahirlah golongan yang mahu membangkitkan kembali zaman kegemilangan Islam. Insya-ALLAH.

No comments: