Tuesday, September 11, 2012

Bilakah Pula Masa Kita?

Assalamu'alaikum wbt.

Pada 3 September 2012, saya dikejutkan dengan berita kemalangan pelajar Malaysia di Rusia. Dua orang daripada mereka meninggal dunia dan lima orang lagi cedera parah. Saya mendapat tahu mengenai berita ini di group FB yang dipos Puan Dina; pegawai PPL Korea supaya kami sentiasa berhati-hati dan menjaga keselamatan diri supaya kejadian seperti ini tidak lagi berlaku. Kemudian pada keesokan harinya, boleh dikatakan hampir kesemua akhbar atas talian membicarakan perihal ini.

Barulah jelas, mereka sebenarnya baru pulang dari bercuti di Malaysia. Pada mulanya saya fikir mereka baru pulang dari bercuti di mana-mana - melancong ke tempat-tempat menarik pada cuti musim panas. Terkaku sekejap setelah mengetahui duduk perkara yang sebenar. ALLAHU ALLAH. Kiranya mereka ini macam saya dan rakan-rakan yang lainlah. Baru sahaja tiba di negara pengajian untuk meneruskan pengajian setelah menghabiskan cuti musim panas di Malaysia. Kemudian, mengalami kemalangan dalam perjalanan ke tempat-tempat pengajian. ALLAH...

Beberapa hari yang lepas, apabila membicarakan kisah ini, suasana tiba-tiba menjadi hening. Seolah-olah tidak kedengaran alunan muzik yang diperdengarkan di dalam Caffe Bene. Masing-masing kelihatannya sedang merefleksi diri. Mana tidaknya, mereka itu sebaya dengan kami dan ada di antara mereka itu merupakan kenalan kami - schoolmate.

Betapa mulianya mereka yang meninggal itu kerana meninggal dalam perjalanan untuk menuntut ilmu. Menuntut ilmu itu kan salah satu ibadah. Menuntut ilmu juga satu jihad. Beruntungnya mereka. 

Teringat hadis tentang niat.

"Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat 
dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang dia niatkan...." 
[HR Bukhari dan Muslim]

Sebab itulah kita disuruh untuk sentiasa memperbaharui niat kita. Pastinya kita tidak akan lari jauh dan sentiasa kembali ke arah yang betul setelah memperbaharui niat, bukan? 

"Katakanlah, "Sesungguhnya kematian yang kamu lari daripadanya, ia pasti menemui kamu, kemudian kamu akan dikembalikan kepada (ALLAH), yang mengetahui yang ghaib dan yang nyata, lalu DIA beritakan kepadamu apa yang telah kamu kerjakan.""
 [Al-Jumu'ah, 62:8]

Itu janji ALLAH. Ajal pasti akan menjemput kita. Ajal maut itu tidak mengenal usia. Yang muda, yang tua, semuanya akan meninggal dunia. Dua pelajar medik Rusia itu telah menemui Yang Maha Pencipta dalam keadaan yang diredhai-NYA - dalam perjalanan menuntut ilmu. Bagaimana pula dengan kita? Bilakah akan tiba masa kita pula? Hanya DIA Yang Maha Mengetahui sahaja yang tahu. 

Namun, adakah kita mahu duduk-duduk sahaja menunggu malaikat Izrail menarik nyawa kita tanpa apa-apa usaha bagi meraih redha-NYA? Tentu tidak bukan? Pastinya kita juga mahu menghadap Ilahi dengan wajah yang tenang dan penuh dengan senyuman. Untuk itu, kita perlulah melakukan segala suruhan-NYA dan meninggalkan segala larangan-NYA. Kita perlu melunaskan tanggungjawab yang diberikan oleh Rabbul Izzati; menjadi khalifah di muka bumi dan beribadah kepada-NYA. Semoga dengan segala amal ini kita bakal pergi menemui-NYA di dalam redha-NYA. Insya-ALLAH.

"Di antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada ALLAH. Dan di antara mereka ada yang gugur, dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janjinya), agar ALLAH memberikan balasan kepada orang-orang yang benar itu kerana kebenarannya, dan mengazab orang munafik jika DIA kehendaki, atau menerima taubat mereka. Sungguh, ALLAH Maha Pengampun, Maha Penyayang."
 [Al-Ahzab, 33:23-24]


Ayat di atas ALLAH tujukan khas kepada orang-orang mukmin. Dalam perjuangan mereka menegakkan agama ALLAH dan mencapai redha-NYA, ada yang meninggal dan ada yang di dalam waiting-list; menunggu masa untuk dijemput Ilahi. Namun, walau apapun keadaan mereka, mereka tidak pernah mahu mengubah janji mereka terhadap ALLAH. Janji apa? Janji untuk menegakkan agama ALLAH. Janji untuk menyampaikan Islam kepada seluruh umat.

Adakah kita tergolong dalam golongan ini? Yang gugur di dalam perjuangan? Yang bakal gugur di dalam perjuangan? Hanya DIA yang tahu. Semoga, kita juga tergolong dalam kalangan orang mukmin yang menepati janjinya kepada ALLAH. Insya-ALLAH.

Nota 1: Kematian itu merupakan suatu peringatan kepada kita yang masih hidup. Masa mereka sudah tiba. Bilakah pula masa kita? Untuk itu, saya menasihati diri saya dan semua yang membaca, bersama-samalah kita bersedia menghadapi sakaratul maut. Insya-ALLAH.

Nota 2: Perbetulkan niat. Perbaharui niat. Setiap apa yang kita lakukan ini sentiasa dicatat. Ajal itu bakal menemui kita bila-bila masa dan di mana-mana sahaja. Semoga saat kita dijemput menghadap Ilahi nanti, kita dijemput dalam keadaan yang diredhai-NYA. Insya-ALLAH.

No comments: