Tuesday, May 8, 2012

Coretan Hati

Assalamu'alaikum wbt.

Sudah lama tidak mencoret di dada kanvas hijau ini. Sunyi sepi sahaja. Semangat untuk menulis bagaikan telah dibawa pergi bersama gugurnya sakura tempoh hari. (Err..sakura pula jadi alasan untuk awak tak menulis ye cik penulis? huhu..)

Banyak sungguh benda yang sudah terjadi sepanjang kanvas hijau ini dibiarkan sepi. Pelbagai rasa ada. Gembira, suka, riang ria, ketawa, sedih, marah, geram, menyampah, gementar...Pendek kata semua rasa ada lah. hihi.

Amaran, entry kali ini mungkin agak panjang dan penuh dengan emosi. =)

Coretan Hati 1

Pada 25-28 April 2012 yang lalu, bumi Korea Selatan ini menerima kunjungan Prof Madya Dr Harlina Halizah Siraj berserta suami, Ustaz Zulkifli Ahmad dan anak-anak, Deena Sofiyya dan Anwar Syamil. Alhamdulillah, ALLAH izinkan saya bertemu dan berbual dengan Dr Har walaupun sekejap cuma, walaupun masa tu tengah bergelumang dengan peperiksaan pertengahan semester. Alahai...rasa macam Ummi datang melawat saya je...huhu..Tambahan pula, usia Ummi dengan Dr Har tak jauh beza pun...beza setahun je. Ummi saya muda setahun. hihi.

Mula-mula nak pergi jumpa Dr Har tu...haih..berdebar-debar jugak la. First time nak jumpa orang terkenal ni. Iye la kan. di Malaysia, Dr Har ni agak famous la kan...Selalu bagi talk di universiti-universiti, selalu masuk TV dan radio, menjadi kolumnis di majalah-majalah...Tak tahu nak bereaksi macam mana bila berhadapan nanti. Tapi kan...bila dah jumpa, Masya-ALLAH, baiknya...ramahnya Dr Har. Baru pertama kali berjumpa, tapi bagaikan dah kenal lama. Setiap patah yang terluah dari ulas bibirnya itu, ALLAHU AKBAR, rasa macam nak catat je semua tu tau. Penuh dengan kata-kata motivasi, penuh dengan kata-kata semangat dan ayat-ayat Al-Quran. huhu...

Pada 28 April 2012 pula ada talk Kerana Dirimu Berharga yang disampaikan oleh Dr Har dan Ust Zul di Dewan Auditorium, Donyang Mirae University. Talk Dr Har selama 45 minit tu saya rasakan sekejap je. Rasa macam nak suruh tambah lagi masa. Tak puas dengar. Lain kali kena jemput Dr Har datang lagi nih. hihi.

Kedatangan Dr Har kali ini ke Korea Selatan pun sebab Dr Har ada conference di Coex Mall. Alhamdulillah walaupun sekejap, banyak ilmu yang kami dapat daripada Dr Har dan Ust Zul ni.

"Someday, you'll be here, in my place." Itu kata-kata Dr Har yang saya ingat. Wow! Dr Har cakap, kita boleh jadi hebat, lagi bagus lagi dari dia sebenarnya. Tapi perlulah berusaha untuk menjadi orang hebat kan? Kalau malas-malas, macam mana nak jadi orang hebat, iye tak?

Coretan Hati 2

Minggu yang time Dr Har datang tu kan time exam. Minggu lepas Dr Har balik tu, dapatlah result examnya...Semua rasa adalah masa dapat result tu. Ada sesetengah yang memang kecewa habislah. Tapi apapun, there's something to ponder la kan...Mungkin usaha selama ni belum cukup bagus, mungkin ALLAH nak tengok saya lebih berusaha untuk next exam, mungkin banyak lagi benda yang saya tak settle...sebab tu ALLAH tak nak bagi result yang macam saya expect untuk exam kali ni. Lagipun, ALLAH tengok pada usaha kan? ALLAH tak tengok pada natijahnya.

Apapun, yang berlalu memang sudah tidak dapat diubah. Masa yang telah lalu itu sudah tidak boleh diputar semula. Apa yang ada kini, itulah yang perlu diusahakan supaya kekecewaan yang dihadapi itu tidak berulang lagi di masa hadapan. Insya-ALLAH.

Coretan Hati 3

Banyak benda yang buat saya naik angin tak tentu pasal kebelakangan ini. ALLAHU ALLAH. Sungguh. Saya masih lagi tidak dapat menghapuskan atau menghilangkan sifat mazmumah ini jauh dari diri. huhu. Sungguh entry yang saya tulis memakan tuannya sendiri. huhu. Mungkin ALLAH nak suruh saya realize balik apa yang sudah saya tulis dan kongsikan di kanvas hijau ini perlu diamalkan sepenuhnya bukannya sekadar menulis kemudian lupa. huhu. Insya-ALLAH akan cuba untuk membuang sifat ini.

Dari apa yang saya perasan, sudah dapat improve sikit. Sikit. Tapi itulah, sedikit yang dikikis itu masih tidak dapat menandingi tompokan yang masih banyak tidak terkikis ini. ALLAH...Memang saya akui, susah untuk buang benda yang sudah sebati dalam jiwa ini. Tapi insya-ALLAH akan terus berusaha dan berusaha untuk menghapuskannya.

Menahan marah dan sabar ini berkaitan dengan iman juga kan? Apabila kita marah, kita tidak dapat menahan sabar dan apabila kita tidak dapat menahan sabar, maknanya iman kita susah terjejas. Sebab apa? Bukan ke sabar itu sebahagian daripada iman? Bila sabar sudah bertebaran pergi, adakah mungkin iman tersemat lagi di hati?

Coretan Hati 4

Semenjak dua menjak ini baaaaanyak sangat perihal perkahwinan dibicarakan. Memang. Kebelakangan ini terlampau banyak kisah walimatul urus yang saya tahu, dijemput menghadirinya dan sebagainya. Asal cakap je, mesti ada bab nikah-kahwin ini. Asal berkumpul je, pasti terkeluar topik berumah tangga ini. Alahai...

Iye lah kan, di usia sebegini, darah masih manis, seronok la bercakap pasal nikah-kahwin ini. Muka masing-masing excited je bila dok bercakap pasal hal ini. Seronok. Memang seronok. Tapi....bila saya fikir-fikirkan balik. Hmm..yang dok seronok dan rancak bercerita ni semuanya tak kahwin pun lagi. Itu la sebabnya kot...Pastilah semua orang punya impian untuk berumah tangga kan? Saya pun tak terkecuali.

Cuma, dalam kita duduk rancak bercerita perihal nikah-kahwin ini, kita kadang-kadang terlepas pandang tentang sesuatu yang lebih penting daripada itu. Seolah-olah hidup kita ini hanya sekadar bermatlamatkan itu sahaja. Saya bercakap ini lebih kepada memperingati diri sendiri sebenarnya. Huhu.

Seharusnya. Sepatutnya. Apabila kita duduk bercakap pasal hal ini, kita juga perlu selitkan sekali perihal persiapan diri. Bagaimana mahu melangkah ke fasa baru seandainya fasa lama ini masih terumbang-ambing? Kehidupan berumah tangga itu bukannya menghidangkan yang indah-indah belaka. Mungkin juga sebab kita sering dihidangkan tentang keindahan alam perkahwinan, kita pun turut teruja untuk menikmati keindahan itu. Namun, cubalah korek-korek juga sudut yang pahitnya berumah tangga ini. Barulah seimbang kedua-duanya.

Cubalah selidiki diri terlebih dahulu. Berusahalah untuk memahami diri terlebih dahulu sebelum belajar mengenali orang lain yang bakal menjadi pasangan hidup kita nanti. Bagaimana mungkin untuk kita memahami pasangan kita yang berlainan jantina dengan kita jika diri kita sendiri pun kita masih susah nak faham?

Belek-beleklah buku-buku berkaitan dengan perbezaan lelaki dan perempuan terlebih dahulu. Men are from Mars, Women are from Venus...Why women can't read map, Why men can't listen...Buku-buku seperti ini insya-ALLAH mampu mengajar kita tentang perbezaan antara lelaki dan perempuan. Insya-ALLAH kita akan lebih memahami perihal diri masing-masing secara teorinya. Untuk praktikalnya bolehlah bertanyakan orang-orang yang lebih berpengalaman. Saya kira, ini untuk persediaan fikiran dan fizikal juga mungkin.

Untuk persediaan ruhi pula, perlulah lakukan checklist. Mutaba'ah amal. Selidiki balik perihal setiap amal kita. Bagaimana dengan solat fardhu kita, bacaan al-Quran kita, pengetahuan agama yang lainnya pula bagaimana? Apabila yang wajib sudah dipenuhi, bagaimana pula dengan yang sunat? Bersediakah kita untuk memikul tanggungjawab yang lebih berat selepas alam pernikahan nanti? Andai amalan untuk diri sendiri pun masih terumbang-ambing, bagaimana mungkin kita mampu mempertingkatkan amal di saat berdua nanti?

Persiapan kewangan dan hala tuju selepas perkahwinan pula bagaimana? Adakah sudah difikirkan tentang itu? Kehidupan perkahwinan itu bermula seusai sahaja si suami melafazkan akad nikah. Jadi, bagaimana dengan segala persediaan material? Walaupun tidak semewah mana, walaupun serba sederhana, sepatutnya hal ini juga perlu kita titik beratkan dalam pada teruja mahu melangkah ke alam perkahwinan. Dulu hidup sendiri bolehlah main hentam saja labu...tapi sekarang ini sudah berdua, mana boleh mahu ikut kepala sendiri sahaja. Perasaan suami dan isteri juga perlu diambil kira, tahu!

Ha...macam mana sahabat sahibah pembaca? Sudah siap semuanya? Walaupun apa yang saya katakan ini bukanlah keseluruhannya, namun jika hal ini sudah difikirkan dan diambil kira sebelum bernikah, saya kira itu pun sudah cukup memadai untuk anda memulakan proposal menyunting si idaman hati. Tak ada lah bila disoal siasat bakal mentua nanti anda tergagap-gagap sendiri kan? Sama sahaja untuk lelaki dan perempuan sebenarnya. Jika lelaki ditanya mengenai tanggungjawab memberikan nafkahnya (itu yang paling utama saya kira...), yang perempuan juga akan ditanya mengenai kebersediaannya untuk menguruskan rumah tangga dan menjadi ibu kelak. Salah satu tujuan utama mendidikan rumah tangga kan untuk mendapatkan zuriat. Jika sudah bersedia dari pelbagai sudut ini, insya-ALLAH, boleh teruskan untuk melangkah anak tangga seterusnya. =)

Err...dah banyak rasanya saya berceloteh ni. huhu. Coretan hati setelah lama tidak menulis. Ini semua sekadar pendapat peribadi saya sahaja. Dipersilakan untuk para pembaca mengutarakan pendapat masing-masing. Apa yang baik datang daripada-NYA dan apa yang buruk datang daripada-NYA juga, disalurkan melalui kelemahan diri saya sendiri.

Wallahu'alam.



No comments: